Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

ADUN PAS TAK SOKONG AZIZAH SERAH PADA SULTAN


PAS dilihat cuba bermain tarik tali dalam isu di Selangor apabila menyatakan persetujuan dalam penolakan.Secara zahirnya PAS dilihat bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Ini berlaku pada ketika keputusan mesyuarat PAS Pusat sebelum ini yang telah bersetuju sebulat suara untuk menamakan Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai pilihan untuk diketengahkan sebagai pengganti Tan Sri Khalid.

Kini setelah Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun , PAS dilihat cuba menolak pula.

Apakah yang cuba dilakukan oleh PAS ?

PAS mengesahkan baki 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka tidak akan menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, 13 Adun tersebut tidak menandatangani sebarang SD menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah seperti yang dilakukan oleh Adun PKR dan DAP.

"Tidak, perkara itu tidak berbangkit," kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat PAS selepas ditanya mengenai SD tersebut.

Mengenai jawatan menteri besar, Mustafa berkata pihak partinya menyerahkan kepada Sultan Selangor untuk menggunakan kebijaksanaannya bagi memilih calon yang baru.

"PAS bersetuju untuk serahkan kepada perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menentukan siapa pengganti bagi jawatan MB Selangor," katanya.

Pengesahan Mustafa tersebut mengesahkan hanya dua Adun PAS sahaja menandatangani SD ‎menyokong Dr Wan Azizah, iaitu Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.

Malah, kedua-dua Adun tersebut juga masih berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat tindakan awal yang membelakangi keputusan parti Islam tersebut.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos memutuskan untuk mencalonkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan tersebut menyebabkan wujudnya pertikaian di kalangan parti dalam Pakatan memandangkan PKR bertegas untuk kekal dengan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB.

Mesyuarat majlis pimpinan PR yang bermesyuarat kemudian petang itu memutuskan untuk menghantar hanya nama Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan istana.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mengesahkan Pakatan sudah menghantar nama isterinya, Dr Wan Azizah kepada pihak Istana untuk diputuskan Sultan Selangor sebagai MB baru.

Anwar berkata tidak timbul isu dua nama dihantar ke istana.

"Jadi hanya satu calon dan surat itu ditandatangani pemimpin PR, Guan Eng, Mat Sabu dan saya sendiri, dan itu mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Esok, Khalid akan mengadap akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan kedudukannya selepas hilang kepercayaaan daripada majoriti Adun.

Keputusan PAS yang menyerahkan kepada keputusan Sultan Selangor jelas bukan sahaja sudah membelakangkan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat tetapi merupakan satu penghinaan terhadap keputusan bersama yang telah dicapai.

PAS ternyata semakin lupa diri apabila cuba bermain tarik tali atau sedang cuba berdolak-dalih ketika ini sedangkan PAS tak mungkin berada di kedudukan hari ini sekiranya Pakatan Rakyat tidak membantu.

Apakah PAS mahu membuat pusingan dengan menolak Wan Azizah ?

PAS BAKAL BERPECAH 2


Spekulasi semakin kencang mendakwa golongan profesional PAS yang tidak setuju dengan cara Hadi menguruskan krisis PAS – PKR berkemungkinan dipecat daripada parti itu.

Sebahagian lagi, didakwa akan meninggalkan parti dan bergabung dengan PKR atau pun menubuhkan parti baru. Semua itu terpaksa dilakukan demi meneruskan politik waras dan tidak terlalu mengikut emosi sebagaimana yang diamalkan presiden PAS.

Usul syura ulama yang meminta agar Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB selagi mana tidak terbukti bersalah oleh mana-mana mahkamah adalah mustahil dalam integriti politik moden. Di negara barat sekiranya integriti pemimpin dipersoalkan seperti pendedahan Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution terhadap beberapa urusniaga Khalid yang meragukan, maka pemimpin yang didakwa akan melepaskan jawatan.

Atau setidak-tidaknya akan meminta disiasat dan tugasnya dipangku oleh timbalan. PAS dalam semua desakan terhadap ahli politik BN juga mensyorkan perkara serupa, pemimpin BN mesti digantung tugas sepanjang tempoh siasatan. Tetapi mengapakah majlis syura ulama mengambil pendekatan berbeza terhadap Khalid?

Menunggu sehingga mahkamah menjatuhkan hukum bersalah tidak wujud dalam budaya politik baru. Ia hanya wujud dalam politik Umno. Dan tentunya menteri umno tidak akan didapati bersalah di mahkamah. Oleh itu selama mana mereka mahu memegang jawatan maka mereka bebas melakukannya.

Pujian wajar diberikan kepada golongan profesional PAS kerana mempertahankan integriti dalam pemerintahan. Biar pun mereka tidak tinggi ilmu agama tetapi mereka mampu memberikan contoh yang dipandang tinggi masyarakat.

Sekiranya golongan profesional ini akhirnya menubuhkan parti baru atau bergabung dengan PKR maka mereka dengan mudah akan diterima pengundi. Sebaliknya, PAS yang kekal dengan tradisi ulamanya akan tenggelam dalam arena politik.

Terutama di Selangor yang mana rakyatnya cerdik politik. Mereka tidak mudah diperangkap dengan hujah dosa dan pahala. Mereka faham antara ustaz yang berceramah dan ahli politik yang mempertahankan integriti.

Sekiranya golongan ulama PAS bertegas membela Khalid dan parti itu berpecah dua maka mereka wajib faham mereka akan jatuh, sama seperti selepas pilihan raya Kelantan 1978.

Namun PAS jangan terlalu yakin tanpa parti itu Pakatan akan berkubur. Rakyat yang dahagakan perubahan tidak mengira siapa pun asalkan mereka tidak ditipu oleh Umno. Jika Pakatan (PKR – DAP) bertanding PRU maka kedua-duanya akan diberi undi.

PAS yang berkerjasama dengan BN akan hilang undi di kawasan-kawasan Melayu. PAS boleh mencuba kerajaan perpaduan, namun bukan dengan sokongan golongan profesional parti itu. Profesional akan pindah ke parti baru yang lebih kredibel.

AJK PAS PUSAT TERLIBAT KEMALANGAN MENINGGAL DUNIA


Ahli jawatankuasa PAS PAS Pusat, Datuk Ustaz Abu Bakar Chik dan pembantunya, Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi. 

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera. 

Ustaz Abu Bakar merupakan bekas calon naib presiden pada muktamar tahun lalu dan pernah menjawat jawatan ketua Pemuda PAS. 

Ustaz Abu Bakar dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas menziarahi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang. 

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.


Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. 

Ustaz Abu Bakar meninggalkan seorang balu, Zaitun Salleh dan lapan anak. 

Jenazah beliau akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah Darul Iman (MTT) Tok Jiring, Kuala Terengganu untuk disembahyang dan dikebumikan.

HADI SELAMAT PULANG PERLU REHAT SECUKUPNYA


Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah selamat tiba di tanah air pada petang semalam setelah menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital berhampiran dengan tempat persidangan di Istanbul, Turki akibat dari komplikasi sesak nafas semasa persidangan berlangsung.

“Walaupun kesihatan beliau sudah bertambah baik dan dibenarkan pulang ke Malaysia, tetapi pihak doktor perubatan masih menasihati beliau supaya dapat terus berehat untuk satu tempoh masa yang tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan media ringkas.

Sehubungan dengan itu juga, katanya adalah diminta supaya ahli-ahli dan kepimpinan parti serta rakan-rakan lainnya dapat memberikan ruang secukupnya kepada Presiden PAS untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat bertemu dan seterusnya memberikan komitmen terhadap program parti dan masyarakat.

Tuan Guru Abdul Hadi dimasukkan ke wad ICU hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul pada 30 Mei lalu selepas mengadu sesak nafas.

Kepada Haji Hadi berehatlah jangan difikirkan sangat hal ehwal politik khususnya perkara perkaitan hudud kerana yang lebih penting kini bukan hudud tapi kesihatan Haji Hadi.

Semoga cepat sembuh

ANTARA TERNAK & KEWAJIPAN WANITA PAS BUKA MATA ORANG MELAYU


Isu masalah sosial dan kejadian-kejadian pembuangan anak sehingga menyebabkan kematian sering kali kita dengar.Seperti menjadi trend apabila ada sahaja berita sedemikian maka sudah pasti mereka yang terlibat itu terdiri daripada orang-orang Melayu yang mengaku Islam sebagai agama mereka.

Pelik sekali kerana Islam tidak pula pernah mengajar umatnya bersikap sedemikian.

Ada suara yang menyatakan punca kepada berlakunya gejala ini adalah disebabkan sikap diri yang hanyut dengan godaan hawa nafsu namun jangan sesekali menidakkan peranan mereka yang seharusnya lebih wajar mendidik.

Siapa kah mereka itu ? 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi mengingatkan ibu bapa supaya mendidik anak mereka sebaiknya dan bukan hanya ‘menternak’ anak.

Katanya, tindakan sebahagian ibu bapa yang lebih cenderung ke arah itu berbanding memberi pendidikan yang baik menyebabkan golongan muda kini jauh tersasar dalam matlamat hidup.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Wanita Peringkat Negeri Kelantan, di Kelantan Trade Cantre, di sini semalam.

Program tahunan itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.

Menurut Mumtaz lagi, peranan ibu bapa buka sekadar memberi makan atau tempat tinggal semata-mata, sebaliknya menjaga mereka tentang kewajipan sebagai hamba Allah.harakahdaily 

Satu teguran yang dirasakan amat wajar memandangkan mereka-mereka yang terlibat sering kali menyalahkan keadaan selain daripada faktor budaya barat yang menerjah masuk ke negara Malaysia.

Sorry to say takkan Islam selemah itu ?

DAP HARUS LEBIH ADIL - PAS


Kelantan menolak andaian pemimpin DAP kononnya isu hudud menjadi faktor parti itu gagal mempertahankan Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil (PRK) Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, DAP tidak sepatutnya menyandarkan kekalahan di Teluk Intan kepada orang lain tanpa melihat dalaman parti itu sendiri.

“Kalau hendak dakwa Teluk Intan kalah kerana isu hudud mengapa pula di Bukit Gelugor parti terbabit boleh menang sedangkan isu hudud juga hangat diperkatakan ketika itu.

“Berdasar kepada pengamatan banyak pihak, isu calon menjadi antara faktor yang perlu diambil kira. Oleh itu sikap menyalahkan orang lain tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perdagangan Kelantan di Kelantan Trade Centre di sini, hari ini.

Semalam seorang pemimpin DAP, Gobind Singh Deo menyifatkan kontroversi pelaksanaan hudud oleh PAS menjadi penyumbang besar kepada kekalahan parti itu di Teluk Intan.

Sedangkan sebelum ini kajian Dr Ngreng Miang Hong dari UCSI Poll Research Center mendapati hanya 12 peratus responden pengundi Cina yang peka terhadap isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila tewas sebanyak 238 undi kepada Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan.

Sebelum itu di PRK Bukit Gelugor, Ram Karpal juga dari DAP berjaya mengekalkan kerusi dengan majoriti 37,659 undi.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, faktor pengundi luar tidak balik mengundi menyumbang kepada penurunan sekitar 7,000 undi DAP.

“Isu ini wajar dilihat secara holistik dan tidak hanya menyalahkan PAS semata-mata. Jika logik demikian mahu dipakai, adakah wajar PAS pula menyalahkan DAP jika gagal menarik undi kaum Melayu.

“Sikap menyalahkan PAS dan hudud hanya suatu analisa tergesa-gesa. Keluarlah analisa yang lebih adil,” katanya.

KERAJAAN BODOH LAKUKAN PERJANJIAN TIDAK MASUK AKAL - MAHFUZ OMAR


Ahli Parlimen PAS mengkritik program panda gergasi Malaysia dan menyifatkan tindakan membelanjakan RM60 juta untuk menjaga sepasang haiwan itu di negara ini sebagai 'perjanjian tidak masuk akal' yang dibuat oleh 'kerajaan bodoh'.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mafuz Omar juga mempersoalkan manfaat diperolehi oleh Malaysia daripada hasil kajian yang dibuat ke atas tingkah laku Panda kerana ia bukannya haiwan yang biasa hidup di negara ini.

"Untuk meraikan 40 tahun hubungan kita dengan China, kita membayar antara RM60  hingga RM70 juta selama 10 tahun hanya untuk panda ini. Tetapi Cina tidak memberikan wang untuk meraikan 40 tahun hubungan diplomatik ini. Ini adalah perjanjian tidak masuk akal oleh kerajaan yang bodoh.

"Mereka kata kita akan mendapat manfaat daripada kajian tingkah laku panda. Sila nyatakan apa manfaat yang kita boleh belajar daripada panda ini," kata Mahfuz pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri G Palanivel, berkata Malaysia membelanjakan RM60 juta sehingga kini untuk membawa sepasang panda gergasi ke Malaysia.

Sebanyak RM25 juta dibelanjakan untuk bangunan haiwan ini yang berhampiran dengan Zoo Negara, manakala RM15 juta untuk pengendalian dan RM20 juta untuk sewaan empat tahun pertama.

HARUSSANI HARUS BERTAUBAT!

Pas hari ini mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menarik balik fatwa yang menganggap peserta demonstrasi sebagai 'bughah' (penderhaka) dan halal darah mereka.

Menurut Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man fatwa tersebut sangat bahaya kepada keselamatan negara dan jelas bertentangan dengan istilah Islam.

 "Fatwa beginilah yang menyebabkan ribuan penunjuk perasaan ditembak di Mesir kerana ia adalah fatwa sesat yang jauh menyimpang dari landasan Syarak.

 "...istilah 'Bughah' merujuk kepada pemberontakan bersenjata sebahagian rakyat bagi menumbangkan kerajaan Islam yang memerintah dengan penuh keadilan dan mengikut lunas syarak. "...kerana itu, ia termasuk dalam hukum hudud, bukan takzir," katanya yang dipetik menerusi kenyataan medianya hari ini.

 Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mempersoalkan apakah rakyat yang keluar membantah kenaikan harga barang dan kos hidup yang melampau, penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah serta berleluasanya kemungkaran dalam negara adalah ‘bughah’, yang halal darah mereka. 

Oleh itu jelas Tuan Ibrahim lagi, jika sebarang fatwa yang ingin dikeluarkan oleh mana-mana mufti haruslah mendapat maklumat sebenar dengan membuat kajian, tinjauan dan memahami kes sebelum sesuatu fatwa dibuat.

 "Mufti tidak hanya boleh bergantung pada maklumat dari media perdana yang dikuasai oleh kerajaan untuk menyebarkan dakyah politik dan juga menyimpang daripada fakta. 

"Oleh itu, Pas mengesa kenyataan ini ditarik balik bagi mengelak pihak-pihak yang jahil dan pelampau agama untuk mengambil kesempatan untuk bertindak sewenang-wenangnya kerana terpengaruh dengan fatwa songsang tersebut," tegasnya. - SH