PRK DUN PENGKALAN KUBOR KEADILAN SIAP SEDIA DENGAN NAMA CALON


KEADILAN sudah menyenarai pendek nama-nama calon yang akan mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kelantan, Abdul Aziz Ab Kadir berkata, nama-nama tersebut sudah disenarai pendek untuk diserah kepada pucuk pimpinan bagi dipertimbangkan.

“Apa yang pasti nama-nama terbabit merupakan anak-anak tempatan Tumpat termasuk ada tokoh berpangkat Datuk. Kita pastikan mereka dikenali penduduk tempatan,” katanya, lapor Harakah Daily.

Malam tadi, KEADILAN Negeri mengadakan pertemuan dengan jentera KEADILAN Tumpat di sini bagi membuat persiapan awal menghadapi pilihan raya.

Manakala PAS pula sudah membuat persiapan akhir sebelum membuka markas besar di Kampung Geting. Tinjauan petang semalam petugas-petugas sedang menaikkan sepanduk di markas terbabit.

Pusat Khidmat Penyelia DUN Pengkalan Kubor juga mulai sibuk dengan kedatangan petugas kawasan-kawasan lain di Kelantan termasuk dari Pasir Puteh diketuai setiausahanya, Drs Zainuddin Awang Hamat.

PRK Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar di China pada 20 Ogos lalu. Beliau menang tiga penggal di DUN berkenaan.

Abdul Aziz juga berkata, biar pun KEADILAN tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi berbanding PAS, namun kerjasama padu Pakatan diharap mampu dalam misi merampas semula DUN berkenaan.

Menurutnya, KEADILAN menghormati pandangan rakan-rakan di Kelantan yang melihat kemampuan jentera PAS bagi merampas DUN tersebut.

“Biar pun ada suara-suara dalam kalangan Muslimat dan Pemuda Negeri mahu DUN terbabit dikembalikan kepada PAS, namun ia dianggap sebagai proses dalam politik,” kata Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment