PENDAKWAAN TERHADAP PEMIMPIN PAKATAN BUKTI ERA KUKU BESI


Pendakwaan mahkamah terhadap lima pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran hari ini menandakan bermulanya era pemerintahan kuku besi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata, penangkapan dan pendakwaan terpilih yang semakin kerap terhadap pimpinan PR, termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menjelang sambutan Merdeka ke-57 pada 31 Ogos ini menandakan lahirnya Despotisme Baru dalam landskap politik negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) jika wakil rakyat PR didapati bersalah dan hilang kelayakan mereka.

"Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya bukan sekadar menyabitkan, malah dengan hukuman denda lebih RM2,000 dan penjara setahun yang membatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat, ia bermakna lima PRK peringkat Parlimen bakal diadakan, iaitu Seputeh, Batu, Pandan, Padang Serai dan Shah Alam dan dua PRK peringkat DUN – Seri Delima dan Changkat Jering.

"Jika kita menyertakan kemungkinan PRK di Permatang Pauh, iaitu kalau Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini, maka kita melihat kepada kemungkinan besar 6 PRK peringkat Parlimen yang berpunca daripada siri terbaru tangkapan dan pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi didakwa dengan tuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan fitnah dan provokasi terhadap ahli Umno.

Manakala Surendran dikenakan dakwaan mengikut Akta Hasutan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membuat kenyataan rayuan kes Liwat II adalah konspirasi politik yang melibatkan Putrajaya, dakwaan kedua yang dikenakan terhadapnya dalam tempoh dua minggu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula semalam didakwa mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan yang dibuat terhadap Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dan Adun Seri Delima RSN Rayer didakwa dengan dua tuduhan hasutan ekoran kenyataan "Umno celaka" yang dibuatnya Mei lalu.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS, turut didakwa awal minggu ini kerana memfitnah Najib dalam ucapannya dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang pula masih dalam proses perbicaraan mengikut Akta Hasutan.

Lim berkata, ini adalah kemuncak ironi kerana Najib pada Julai 2012 memansuhkan Akta Hasutan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara demokrasi terbaik di dunia."

Namun hakikatnya menurut Lim, Najib mencipta rekod baru menggunakan akta itu terhadap ahli Parlimen dan Adun, malah pencapaian beliau mengatasi 22 tahun "zaman gelap" di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Lima ahli parlimen (termasuk Karpal Singh) dan seorang Adun didakwa kerana menghasut sepanjang enam tahun pentadbiran Najib.

"Sedangkan sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir hanya seorang ahli Parlimen yang didakwa, dipenjara, dan digugurkan kelayakannya, iaitu (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng," katanya.

Katanya, ketika itu Dr Mahathir "dibantu" Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal dengan tahanan tanpa bicara, namun ia bukanlah alasan untuk memulakan zaman kuku besi baru di bawah kepimpinan Najib.

Beliau berkata, kebebasan demokrasi akan terjejas jika Akta Hasutan dan undang-undang lain yang tidak demokratik dan menindas digunakan sebagai senjata.

"Bukan sahaja Najib dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang perlu dipertanggungjawabkan atas era kuku besi baru, tetapi seluruh menteri kabinet dan pemimpin parti komponen BN harus dipertanggungjawabkan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengamal kuasa eksekutif dan kehakiman supaya menjauhkan diri daripada melakukan tindakan yang menyebabkan kemerosotan demokrasi.

"Jika tidak, mereka boleh dianggap bersubahat melahirkan era pemerintahan kuku besi baru di Malaysia," katanya.

PRK DUN PENGKALAN KUBOR KEADILAN SIAP SEDIA DENGAN NAMA CALON


KEADILAN sudah menyenarai pendek nama-nama calon yang akan mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kelantan, Abdul Aziz Ab Kadir berkata, nama-nama tersebut sudah disenarai pendek untuk diserah kepada pucuk pimpinan bagi dipertimbangkan.

“Apa yang pasti nama-nama terbabit merupakan anak-anak tempatan Tumpat termasuk ada tokoh berpangkat Datuk. Kita pastikan mereka dikenali penduduk tempatan,” katanya, lapor Harakah Daily.

Malam tadi, KEADILAN Negeri mengadakan pertemuan dengan jentera KEADILAN Tumpat di sini bagi membuat persiapan awal menghadapi pilihan raya.

Manakala PAS pula sudah membuat persiapan akhir sebelum membuka markas besar di Kampung Geting. Tinjauan petang semalam petugas-petugas sedang menaikkan sepanduk di markas terbabit.

Pusat Khidmat Penyelia DUN Pengkalan Kubor juga mulai sibuk dengan kedatangan petugas kawasan-kawasan lain di Kelantan termasuk dari Pasir Puteh diketuai setiausahanya, Drs Zainuddin Awang Hamat.

PRK Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar di China pada 20 Ogos lalu. Beliau menang tiga penggal di DUN berkenaan.

Abdul Aziz juga berkata, biar pun KEADILAN tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi berbanding PAS, namun kerjasama padu Pakatan diharap mampu dalam misi merampas semula DUN berkenaan.

Menurutnya, KEADILAN menghormati pandangan rakan-rakan di Kelantan yang melihat kemampuan jentera PAS bagi merampas DUN tersebut.

“Biar pun ada suara-suara dalam kalangan Muslimat dan Pemuda Negeri mahu DUN terbabit dikembalikan kepada PAS, namun ia dianggap sebagai proses dalam politik,” kata Abdul Aziz.

PRAMUGARA MAS CABUL WANITA AUSTRALIA


Pengguna media sosial hari ini mengecam Laura Bushney, seorang wanita warga Australia yang mendakwa diraba ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lalu.

Menerusi ruangan komen di laman Facebook Sunday Night, program terbitan Channel 7 televisyen Australia, ramai melahirkan keraguan berhubung pengakuan Bushney kerana dia mendakwa dia sempat merakam perbuatan itu melalui telefon bimbitnya.

“Betul-betul merepek. Dia lakukannya kerana satu perkara saja. Wang. Selain merosakkan reputasi orang yang tidak bersalah,” kata Jessica Greenhill diikuti lebih 300 komen lain.

Bushney, 26, dalam wawancara bersama Sunday Night berkata, ketua pramugara MAS itu merayu kepadanya supaya tidak melaporkan insiden tersebut kepada pihak berkuasa kerana bimbang diketahui isteri dan anak-anak.

Katanya, anak kapal MAS itu cuba mengambil kesempatan atas perasaan takutnya ketika terbang dengan MAS berikutan insiden pesawat MH370 dan MH17, lalu dia duduk di sebelahnya sambil mengurut kakinya dengan alasan cuba menenangkannya.

Bushney memberitahu, lelaki itu kemudian memasukkan tangannya ke dalam seluarnya sambil meraba kemaluannya.

Katanya dia terkejut waktu itu dan terfikir-fikir kemudiannya: "Mengapa saya tidak jerit, mengapa saya tidak berteriak?

"Saya seorang yang tabah. Saya boleh lakukannya. Saya tahu saya boleh. Tetapi waktu itu saya terlalu takut untuk berbuat apa-apa."

Seorang lagi pengguna media sosial, Tanya Pearce memberi komen dia percaya Bushney sengaja membiarkan perkara itu berlaku kerana mahu mendapat pampasan dari MAS.

“Saya percaya dia membiarkan perkara itu berlaku. Dia tidak benar-benar menangis. Saya tak tahu bagaimana dia dalam ketakutan tetapi tidak menjerit.

“Apa yang dia (ketua pramugara) boleh lakukan dalam pesawat yang penuh dengan penumpang? Saya fikir dia (Bushney) hanya hendakkan pampasan,” katanya di laman Facebook itu.

Alexandra Shand pula berkata apa yang dikatakan Bushney sangat kelihatan seperti dakwaan palsu dan membuatkannya menukar siaran dari terus menyaksikan program Sunday Night. 

“Saya gembira bukan saya seorang sahaja yang ingat ada sesuatu yang pelik dengan berita ini,” katanya. 

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama CJ Booth berkata Sunday Night sengaja mensensasikan dakwaan Bushney ekoran kejadian dua pesawat malang MH370 dan MH17 yang menimpa MAS.

“Jika ia bukan MAS, cerita ini tidak akan disiarkan. Jadi, jangan katakan kamu lakukan untuk dia (Bushney) apabila tujuan sebenar untuk mendapatkan penonton,” katanya.

Kebanyakan pengguna media sosial yang melemparkan kritikan melihat tindakan Bushney merakam insiden itu sebagai di luar kewarasan fikiran apabila berdepan dengan keadaan kritikal seperti itu.

Mereka berkata daripada merakam insiden berkenaan, sewajarnya Bushney mengambil tindakan mengelak membiarkan perkara itu terus berlaku. 

“Dia boleh ambil telefon dan rakam tetapi tidak menjerit atau memukul. Saya lihat dia tidak jujur,” kata Michelle Durban yang turut disokong beberapa pengguna Facebook lain.


ADUN PAS TAK SOKONG AZIZAH SERAH PADA SULTAN


PAS dilihat cuba bermain tarik tali dalam isu di Selangor apabila menyatakan persetujuan dalam penolakan.Secara zahirnya PAS dilihat bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Ini berlaku pada ketika keputusan mesyuarat PAS Pusat sebelum ini yang telah bersetuju sebulat suara untuk menamakan Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai pilihan untuk diketengahkan sebagai pengganti Tan Sri Khalid.

Kini setelah Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun , PAS dilihat cuba menolak pula.

Apakah yang cuba dilakukan oleh PAS ?

PAS mengesahkan baki 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka tidak akan menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, 13 Adun tersebut tidak menandatangani sebarang SD menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah seperti yang dilakukan oleh Adun PKR dan DAP.

"Tidak, perkara itu tidak berbangkit," kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat PAS selepas ditanya mengenai SD tersebut.

Mengenai jawatan menteri besar, Mustafa berkata pihak partinya menyerahkan kepada Sultan Selangor untuk menggunakan kebijaksanaannya bagi memilih calon yang baru.

"PAS bersetuju untuk serahkan kepada perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menentukan siapa pengganti bagi jawatan MB Selangor," katanya.

Pengesahan Mustafa tersebut mengesahkan hanya dua Adun PAS sahaja menandatangani SD ‎menyokong Dr Wan Azizah, iaitu Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.

Malah, kedua-dua Adun tersebut juga masih berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat tindakan awal yang membelakangi keputusan parti Islam tersebut.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos memutuskan untuk mencalonkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan tersebut menyebabkan wujudnya pertikaian di kalangan parti dalam Pakatan memandangkan PKR bertegas untuk kekal dengan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB.

Mesyuarat majlis pimpinan PR yang bermesyuarat kemudian petang itu memutuskan untuk menghantar hanya nama Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan istana.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mengesahkan Pakatan sudah menghantar nama isterinya, Dr Wan Azizah kepada pihak Istana untuk diputuskan Sultan Selangor sebagai MB baru.

Anwar berkata tidak timbul isu dua nama dihantar ke istana.

"Jadi hanya satu calon dan surat itu ditandatangani pemimpin PR, Guan Eng, Mat Sabu dan saya sendiri, dan itu mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Esok, Khalid akan mengadap akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan kedudukannya selepas hilang kepercayaaan daripada majoriti Adun.

Keputusan PAS yang menyerahkan kepada keputusan Sultan Selangor jelas bukan sahaja sudah membelakangkan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat tetapi merupakan satu penghinaan terhadap keputusan bersama yang telah dicapai.

PAS ternyata semakin lupa diri apabila cuba bermain tarik tali atau sedang cuba berdolak-dalih ketika ini sedangkan PAS tak mungkin berada di kedudukan hari ini sekiranya Pakatan Rakyat tidak membantu.

Apakah PAS mahu membuat pusingan dengan menolak Wan Azizah ?

TERKINI DARI SELANGOR 30 ADUN PR TERMASUK 2 DARI PAS SOKONG WAN AZIZAH


30 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Selangor menyatakan sokongan kepada Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Sokongan tersebut sekaligus menandakan Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang kepercayaan majoriti Adun di Selangor untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

Dua Adun PAS yang menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah ialah Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Dalam pada itu, Abdul Khalid dalam sebuah kenyataan di Facebook berkata, beliau maklum tentang pengumuman Wan Azizah yang mendakwa Adun Kajang itu telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.

Tambah Abdul Khalid, sehingga proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor belum lagi diadakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan seperti biasa.

ADUN BATU TIGA AKUR KEPUTUSAN PARTI


Anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada PKR Rodziah Ismail berkata beliau akur kepada keputusan partinya berhubung krisis politik Selangor, yang menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Beliau yang baru pulang dari Bangkok, Thailand malam semalam selepas mewakili parti itu dalam satu kursus di sana, dalam satu kenyataan ringkasnya berkata:

"Saya ingin menjelaskan pendirian saya dalam konteks rentetan dan perkembangan mutakhir pentadbiran kerajaan di negeri Selangor. Dalam konteks itu, saya akan akur kepada keputusan PKR, yang saya menganggotainya.

"Keakuran saya itu, saya percaya, adalah untuk menunaikan amanah memelihara mandat yang telah diberi oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Negeri Selangor," katanya yang mengikuti kursus di Thailand sejak 11 hingga 13 Ogos.

Menteri Besar Selangor sebelum ini bertindak memecat lima anggota exconya selepas didapati tidak menyokong pentadbirannya.

Lima anggota Exco yang disahkan dipecat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR manakala Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP.

Pada Isnin lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan supaya Abdul Khalid terus memegang jawatan Menteri Besar selepas beliau dipecat daripada PKR.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan berkata pemecatan itu tidak melibatkan Rodziah yang ketika itu berada di luar negara dan kedudukan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu akan diputuskan selepas beliau pulang ke tanah air.Bernama

PAS BAKAL BERPECAH 2


Spekulasi semakin kencang mendakwa golongan profesional PAS yang tidak setuju dengan cara Hadi menguruskan krisis PAS – PKR berkemungkinan dipecat daripada parti itu.

Sebahagian lagi, didakwa akan meninggalkan parti dan bergabung dengan PKR atau pun menubuhkan parti baru. Semua itu terpaksa dilakukan demi meneruskan politik waras dan tidak terlalu mengikut emosi sebagaimana yang diamalkan presiden PAS.

Usul syura ulama yang meminta agar Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB selagi mana tidak terbukti bersalah oleh mana-mana mahkamah adalah mustahil dalam integriti politik moden. Di negara barat sekiranya integriti pemimpin dipersoalkan seperti pendedahan Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution terhadap beberapa urusniaga Khalid yang meragukan, maka pemimpin yang didakwa akan melepaskan jawatan.

Atau setidak-tidaknya akan meminta disiasat dan tugasnya dipangku oleh timbalan. PAS dalam semua desakan terhadap ahli politik BN juga mensyorkan perkara serupa, pemimpin BN mesti digantung tugas sepanjang tempoh siasatan. Tetapi mengapakah majlis syura ulama mengambil pendekatan berbeza terhadap Khalid?

Menunggu sehingga mahkamah menjatuhkan hukum bersalah tidak wujud dalam budaya politik baru. Ia hanya wujud dalam politik Umno. Dan tentunya menteri umno tidak akan didapati bersalah di mahkamah. Oleh itu selama mana mereka mahu memegang jawatan maka mereka bebas melakukannya.

Pujian wajar diberikan kepada golongan profesional PAS kerana mempertahankan integriti dalam pemerintahan. Biar pun mereka tidak tinggi ilmu agama tetapi mereka mampu memberikan contoh yang dipandang tinggi masyarakat.

Sekiranya golongan profesional ini akhirnya menubuhkan parti baru atau bergabung dengan PKR maka mereka dengan mudah akan diterima pengundi. Sebaliknya, PAS yang kekal dengan tradisi ulamanya akan tenggelam dalam arena politik.

Terutama di Selangor yang mana rakyatnya cerdik politik. Mereka tidak mudah diperangkap dengan hujah dosa dan pahala. Mereka faham antara ustaz yang berceramah dan ahli politik yang mempertahankan integriti.

Sekiranya golongan ulama PAS bertegas membela Khalid dan parti itu berpecah dua maka mereka wajib faham mereka akan jatuh, sama seperti selepas pilihan raya Kelantan 1978.

Namun PAS jangan terlalu yakin tanpa parti itu Pakatan akan berkubur. Rakyat yang dahagakan perubahan tidak mengira siapa pun asalkan mereka tidak ditipu oleh Umno. Jika Pakatan (PKR – DAP) bertanding PRU maka kedua-duanya akan diberi undi.

PAS yang berkerjasama dengan BN akan hilang undi di kawasan-kawasan Melayu. PAS boleh mencuba kerajaan perpaduan, namun bukan dengan sokongan golongan profesional parti itu. Profesional akan pindah ke parti baru yang lebih kredibel.

BILA MELAYU SENDIRI TABUR PASIR DALAM PERIUK NASI MELAYU


SYABAS penulis ucapkan kepada semua orang-orang Melayu kerana begitu bersemangat untuk sama-sama memberikan tekanan kepada kekejaman tentera Israel yang kini sedang berperang menentang pejuang Palestin.

Walaupun kebanyakkannya hanya setakat bercakap tapi nafsu untuk mengeji Israel begitu tinggi , tak mengapa itu hak masing-masing dan kerana hak itu ada ketikanya tindakan sebahagian besar mereka yang mengaku Melayu telah melakukan satu kesilapan paling besar dalam sejarah orang Melayu di Malaysia.

Kalau diikutkan sejak dulu pun orang Melayu bukan sekali dua melakukan kesilapan , berkali-kali dan sejarah Hang Tuah yang kini menjadi sebahagian daripada lagenda kebanggaan orang Melayu turut sama menjadi bukti betapa kebodohan serta sikap tamak dan rakus orang Melayu akhirnya memakan diri.

Tragedi Hang Tuah membunuh Hang Jebat kerana terlalu patut kepada perintah Sultan seharusnya dijadikan kayu ukuran oleh orang-orang Melayu zaman kini.Namun sayang , mereka lebih memilih untuk jadikan tragedi itu sebagai sebuah satira dan menjadi tontonan anak cucu cicit sahaja.

Tidak ada sekelumit pun pengajaran yang diambil untuk menjadi pedoman kepada generasi kini dan seterusnya. 

Berbalik kepada realiti hari ini , manusia-manusia yang mengaku warga Malaysia dan berbangsa Melayu ini sedang usahakan malah sudah berlaku kejadian memboikot restoran makanan segera Mcdonalds.Salah satunya di Dungun Terengganu.


Untuk apa mereka yang mengaku beragama Islam ini memboikot Mcdonalds ? Apakah mereka yakin dengan melakukan tindakan sebegitu akan memberikan impak besar seterusnya akan menyebabkan Israel menghentikan serangan terhadap bumi Palestin ?

Penulis yakin dan percaya sekiranya restoran makanan segera ini ditutup sekalipun , Israel tidak sedikit pun terjejas kerana terdapat puluhan lagi negara lain yang bersedia malah sudah pun membuka rangkaian restioran makanan segera ini.

Disini penulis ingin nyatakan bahawa kesan yang bakal berlaku terhadap Malaysia melibatkan 2 perkara utama.

1.Malaysia akan terkesan dari sudut ekonomi kerana jika Mcdonalds menarik diri daripada terus melabur di Malaysia maka sudah pasti syarikat-syarikat lain juga akan turut sama berbuat demikian kerana mereka juga boleh melancarkan mogok terhadap Malaysia.

2.Bayangkan berapa ramaikan jumlah anak-anak bangsa Melayu akan kehilangan pekerjaan selain daripada punca pendapatan yang selama ini digunakan untuk menyara diri dan keluarga ?

Dua perkara di atas merupakan asas utama yang perlu difikirkan oleh orang Melayu yang mengaku bertamadun.

Penulis juga sedikit hairan dengan sikap orang Melayu terlibat kerana mereka begitu agresif serta bersemangat untuk memboikot Mcdonalds kononnya kerana terlibat secara langsung dengan Israel.Namun sedarkah mereka tindakan memboikot seperti mana yang berlaku di Dungun itu turut menggunakan kepentingan Israel ?

Sesuatu yang langsung tidak pernah difikirkan oleh mereka yang mengaku bijak pandai !

Setiap gambar yang diambil tetap diupload ke rangkaian facebook untuk disebarkan dan sedarkah mereka bahawa facebook juga terlibat secara langsung dengan Israel ?

Sedarkah mereka-mereka yang memboikot itu segala gajet dan apa jua yang terdapat pada diri mereka sedikit sebanyak turut menyumbang kepada Israel !

Jangan nafi dengan kenyataan bodoh tetapi tunduk dan lihat diri sendiri sejauh mana kamu dekat dengan rejim Israel wahai orang-orang Melayu !

Lebih bodoh adalah sikap orang Melayu yang begitu hebat merancang dan menyusun atur gerakan memboikot Mcdonalds tetapi tidak ada satu pun rancangan mahupun pelan bagaimana mereka mahu mengeluarkan orang-orang Melayu yang bekerja di Mcdonalds dan menempatkan mereka-mereka itu dalam pekerjaan yang lebih baik dan suci.

MB SELANGOR - AZMIN BAKAL GANTI WAN AZIZAH


Mesyuarat Biro Politik Khas PKR yang berlangsung pada malam Ahad di Ibu Pejabat PKR difahamkan menjadi pertemuan pemutus isu pengganti Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat 'berdegil' untuk melepaskan jawatan.

Permintaan Abdul Khalid yang dikatakan hanya akan mengundur diri sekiranya digantikan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kini hanya menimbulkan kemelut dalaman Pakatan Rakyat (PR) terutama penolakan daripada PAS.

Menurut sumber dalaman PKR, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menolak pencalonan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali kini terpaksa berfikir dua kali untuk menamakan 'anak didiknya' sebagai MB Selangor demi menjernihkan kemelut dalaman PR sendiri.

"Anwar sebelum ini telah terpaksa menolak cadangan menamakan Azmin sebagai MB atas permintaan Khalid. Akan tetapi apabila keadaan celaru  begini, Anwar memerlukan Azmin," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Sumber itu mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Wan Azizah yang dijangka berlaku bulan ini.

PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor selain DAP dilihat mengambil pendirian senyap dan memerhati sahaja.

Bagaimanapun, isu ini menimbulkan pergolakan di dalam PR selepas beberapa pemimpin PAS dan DAP menyatakan pandangan masing-masing yang bersifat kontra dengan keputusan pertukaran jawatan MB itu.

Ia juga dilihat semakin kronik selepas mesej kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Jelas sumber itu lagi, Azmin yang baru pulang daripada umrah sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dikatakan bakal menjadi calon alternatif MB Selangor biarpun tanpa persetujuan Khalid.

"Pemilihan Azmin ini dikatakan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada DAP dan juga memenuhi kehendak PAS untuk calon MB selain daripada wanita. Azmin juga menerima sokongan majoriti Pengerusi - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang telah disampaikan kepada Anwar.

"Antara negeri yang dikatakan memberikan sokongan penuh kepada Azmin sebagai calon MB adalah Pengerusi MPN Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak," ujarnya.

Kata sumber itu, dalam mesyuarat MPP yang lalu, keputusan memilih Wan Azizah dibuat tanpa proses undian setelah cadangan mencalonkannya dicadangkan Anwar.

"Anwar sendiri tidak mahu menerima cadangan nama lain termasuk‎ cadangan daripada MPN Selangor yang mencalonkan Pengerusinya, Mohamed Azmin Ali," katanya.

Ujar sumber itu, Azmin yang mendapat sokongan majoriti pimpinan MPP dalam mesyuarat tersebut tidak dibenarkan untuk bersuara dan menyatakan sokongan.astroawani

JAWAPAN MCDONALDS TERHADAP FITNAH BLOGGER MELAYU


Pihak kami ingin untuk memberikan jawapan kepada tulisan seseorang yang memberikan nama beliau sebagai Firdaus Ariff (“penulis tersebut”) yang tersebar dengan meluas di media sosial semalam. Kononnya tulisan beliau adalah satu analisa fakta bilamana pada hakikatnya kenyataan-kenyataan yang terkandung adalah berbentuk fitnah dan hasutan.

Buat makluman, adalah bukan amalan pihak McDonald’s Malaysia untuk menjawab setiap tohmahan dan fitnah oleh kerana keutamaan kami adalah perniagaan dan pelanggan-pelanggan kami dan kami mengekalkan hak kami untuk menjawab atau tidak menjawab mana-mana tohmahan atau fitnah. Bagaimanapun dalam perkara ini, kami membuat pengecualian kerana tohmahan-tohmahan tersebut dibuat secara terbuka dengan mempertikaikan fakta-fakta yang dijelaskan oleh pihak kami semasa ditemubual oleh pihak media (Berita Harian) dan disiarkan pada 30 Julai 2014. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengekalkan hak kami untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis tersebut atau mana-mana pihak yang membuat kenyataan-kenyataan menghina pada bila-bila masa akan datang di dalam tempoh hadmasa yang dibenarkan oleh undang-undang. Kami juga menganggap tindakan penulis tersebut membiarkan komen-komen menghina disiarkan di dalam laman di bawah kawalan beliau sebagai menambah kesan (“aggravate”) fitnah terhadap kami.

Disertakan di bawah ini jawapan kami kepada tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh beliau terhadap kami:

1. Tohmahan pertama: Tajuk tulisan oleh penulis tersebut - “McDonalds Malaysia Memperbodohkan Rakyat Malaysia”

Jawapan kami: Tajuk tersebut jelas sama ada secara nyata ataupun secara tersirat menggambarkan bahawa kami kononnya telah membohongi rakyat Malaysia, yang mana dinafikan. Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan fitnah yang jelas (“highly libellous”).


2. Tohmahan kedua: Kenyataan penulis tersebut - “Mungkin mereka sudah 'panas punggung' atas boikot yang berlarutan.”

Jawapan kami: Buat makluman, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pihak kami lanjutan daripada temubual dengan pihak media dibuat atas rasa tanggungjawab. Kami juga telah dari semasa ke semasa mendapat maklum balas daripada pelanggan-pelanggan kami yang meminta suatu penerangan mengenai pendirian kami yang telah jelas kami nyatakan semasa temu bual tersebut.

3. Tohmahan ketiga: Kenyataan-kenyataan penulis tersebut menggambarkan kononnya jumlah restoran yang dimiliki oleh anak tempatan dan orang Melayu tersangat sedikit. Kenyataan-kenyataan tersebut berakhir dengan kenyataan-kenyataan kononnya:

"Adakah 27.68% outlet dikira banyak? Apa yang pasti bukan majoriti. McDonald's Malaysia memiliki bakinya dan memiliki majoriti outlet.

Berapa banyak pula kepentingan Melayu?

Peratusan outlet francais yang dimiliki Melayu: (50% x 67) / 242 x 100% = 13.84%

Dengan hanya 13.84% outlet dimiliki oleh orang Melayu memang jauh panggang dari api hendak mengatakan McDonalds Malaysia adalah syarikat Melayu. Bukannya 50% outlet dimiliki orang Melayu!"

Jawapan kami:

Penulis cuba mengelirukan pembaca dengan gagal membuat rujukan kepada kenyataan-kenyataan yang jelas tertera di dalam artikel temubual tersebut yang menyatakan:

(a) … syarikat menyasarkan untuk memiliki 500 restoran menjelang tahun 2020, termasuk 50 peratus daripadanya difrancaiskan kepada usahawan tempatan…

(b) … memandangkan boikot ini menyentuh tohmahan yang menyentuh sensitiviti agama, terdapat kemungkinan golongan Bumiputera beragama Islam yang berkelayakan akan menyisihkan diri daripada memohon untuk menjadi francaisi. “Ini akan menjejaskan harapan kami untuk mempunyai francaisi yang mewakili setiap kelompok masyarakat, tambah-tambah lagi dalam saat kritikal kini yang mana McDonald’s Malaysia sedang mengembangkan bilangan francaisi dengan pesat…

Temu bual tersebut antara lain menjelaskan bahawa saat kini adalah satu saat yang kritikal dimana bilangan francaisi sedang dikembangkan, oleh itu ia menyentuh perancangan mendatang dan bukannya keadaan yang statik yang diuar-uarkan oleh penulis tersebut. Oleh yang demikian, pendekatan analisa yang kononnya dilakukan oleh penulis tersebut adalah satu pendekatan yang cetek dan tidak berlaku adil kepada keseluruhan konteks artikel temu bual.

Kami ingin menegaskan lagi bahawa syarikat kami sentiasa mengamalkan keterbukaan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Adalah malang sekiranya mana-mana golongan masyarakat memilih untuk tidak melibatkan diri dalam program francais kami disebabkan oleh hasutan mana-mana pihak.

4. Tohmahan keempat: Kenyataan penulis tersebut kononnya “ahli lembaga pengarah yang seramai 10 orang pula hanya ada 2 orang pengarah Melayu!”

Jawapan kami: Jelas terdapat kekeliruan oleh penulis tersebut mengenai maksud ahli lembaga pengarah. Buat pengetahuan, ahli Lembaga Pengarah McDonald’s Malaysia terdiri daripada lima (5) orang anggota sahaja, walaupun terdapat anggota gantian (“alternate directors”) seramai tiga orang. Daripada lima anggota tersebut, majoritinya iaitu tiga anggota adalah anak tempatan termasuk dua daripadanya adalah berbangsa Melayu. Pemeriksaan borang 49 Akta Syarikat akan membuktikan perkara ini. Sekali lagi diingatkan bahawa di McDonald’s Malaysia, kami tidak mengamalkan apa-apa kuota dan di atas keterbukaan kami, anak-anak tempatan yang layak, tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan kini mengisi jawatan-jawatan penting dalam syarikat.

5. Tohmahan kelima: Kenyataan-kenyataan penulis yang berikut - "Semakan di SSM menunjukkan Golden Arches Restaturant Sdn. Bhd. mempunyai 20 juta saham biasa. Siapa pula pemiliknya? McDonald's Corporation bukan setakat menerima royalti malah mempunyai saham majoriti dalam Golden Arches Restaurant's Sdn Bhd (McDonald's Malaysia). Tiada entiti Malaysia yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia.Tiada entiti Melayu yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia."

Jawapan kami: Di dalam temu bual tersebut, pihak kami telah dengan terang-terang dan tanpa menyembunyikan apa-apa fakta menerangkan bahawa sememangnya pemegang saham McDonald’s Malaysia adalah merupakan McDonald’s Corporation bilamana dinyatakan “Walaupun pemegang saham kami adalah McDonald’s Corporation yang berpengkalan di Amerika Syarikat, tetapi syarikat kami adalah McDonald’s Malaysia…”

Tidak ada di mana-mana dalam temu bual tersebut dinyatakan bahawa ada entiti Malaysia yang memegang saham McDonald’s Malaysia. Penulis menimbulkan sebagai isu sesuatu yang bukan isu dan tak pernah ditimbulkan semasa sesi temu bual. Ini menunjukkan kedangkalan analisa beliau.

Harus diingat bahawa konteks artikel daripada perspektif milikan adalah milikan anak-anak tempatan secara terus ke atas perniagaan restoran-restoran McDonald’s di Malaysia melalui konsep francais, dan bukannya milikan syarikat McDonald’s Malaysia.

6. Tohmahan keenam: Kenyataan penulis tersebut - "Melayu sekadar majoriti pekerja dan minoriti pemilik outlet McDonald's Malaysia."

Jawapan kami: Persoalannya, apakah mesej yang cuba dibawa oleh penulis mengenai 85% tenaga kerja McDonald’s Malaysia terdiri daripada Melayu. Digambarkan seolah-olah ini adalah sesuatu yang tidak elok, jadi adakah objektif penulis tersebut agar tenaga kerja berbangsa Melayu dikurangkan? Ingin dijelaskan sekali lagi di sini McDonald’s Malaysia menghargai semua pekerja-pekerjanya daripada mana-mana bangsa, agama dan keturunan dan tidak ada sebarang kuota yang dikenakan pada bila-bila masa. Bagaimanapun adalah satu realiti bahawa majoriti pekerja McDonald’s Malaysia adalah berketurunan Melayu dan mereka tidak seharusnya dihina.

Mengenai dakwaan bahawa Melayu adalah minoriti pemilik outlet McDonald’s Malaysia, harus diingat bahawa 40% sehingga 50% daripada jumlah francaisi adalah satu peratusan yang signifikan. Pengambilan francaisi-francaisi adalah di atas dasar merit dan sebelum ini ramai daripada orang-orang Melayu yang teruja untuk membuat permohonan. Tindakan memboikot adalah sebenarnya satu langkah yang boleh dilihat sebagai mensabotaj orang-orang Melayu beragama Islam daripada membuat permohonan kerana tohmahan dan fitnah melampau. Penulis tersebut memberikan mesej yang tidak konsisten, adalah tidak jelas sama ada beliau menyokong orang-orang Melayu memohon untuk menjadi francaisi ataupun beliau mengharapkan agar orang-orang Melayu tidak memohon daripada menjadi francaisi-francaisi McDonald’s Malaysia. Jelas bahawa analisa beliau mengandungi kenyataan-kenyataan yang tidak konsisten.

7. Tohmahan ketujuh: Kenyataan penulis tersebut bahawa - "Tajuk artikel pun sudah memberi gambaran salah. Sejauh mana lagi McDonald's Malaysia mahu memperbodohkan rakyat Malaysia?"

Jawapan kami: Kami mengulangi kenyataan kami di atas bahawa kenyataan ini adalah jelas sama ada secara nyata ataupun secara tersirat menggambarkan bahawa kami kononnya membohongi rakyat Malaysia. Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan fitnah yang jelas.

Adalah harapan kami agar pelanggan-pelanggan kami yang dikasihi dapat mengambil maklum kenyataan di atas. Kami sekali lagi mengekalkan hak kami untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis tersebut dan komentar-komentar melampau terhadap kami, pada bila-bila masa akan datang, di dalam jangkamasa yang dibenarkan oleh undang-undang.

Sesungguhnya, kami akan sentiasa berusaha untuk menyampaikan maklumat serta fakta-fakta yang tepat dan berguna demi kepentingan para pelanggan kami.

Harap maklum.

Jabatan Perundangan,
McDonald’s Malaysia

PAS AKAN BUNGKUS JIKA PILIHANRAYA MENGEJUT DI SELANGOR


PAS sememangnya tidak pernah mahu bermuhasabah diri , selama bersama Pakatan Rakyat PAS boleh diibaratkan sebagai pihak yang mengaut keuntungan politik berganda jika dibandingkan dengan parti-parti lain seperti DAP dan PKR.

Ini terbukti apabila politik mereka semakin diterima oleh masyarakat Malaysia termasuk daripada pelbagai kaum lain.Tetapi kerana sikap angkuh dan sombong PAS dilihat mula bermain tarik tali apabila mula berbeza nada.

Kelantan sejak diperintah oleh PAS tidak pernah sama sekali diganggu-gugat oleh DAP dan PKR.Pentadbiran kerajaan negerinya tidak pernah disentuh menunjukkan betapa Pakatan Rakyat menghormati hak parti-parti sekutunya.

Namun nada berlainan kini berlaku di Selangor , PAS seolah-olah cuba mengeruhkan lagi keadaan tatkala kepimpinan Pakatan Rakyat Selangior sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang wujud akibat daripada tindakan seorang pemimpin seperti Khalid Ibrahim.

Tony Pua dalam kenyataannya berkata sekiranya pilihanraya mengejut diadakan di Selangor, Pakatan Rakyat dikhuatiri tewas, namun PAS kalah teruk, tidak akan mendapat sokongan dan akhirnya lenyap dari peta politik Selangor.

Demikian bacaan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam analisanya terhadap permasalahan yang sedang melanda pentadbiran negeri itu.

Senario itu digambarkan seandainya kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tidak mencapai penyelesaian serta kemungkinan berlakunya pilihanraya negeri dengan jangkaan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

“Jika DAP dan PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid, manakala PAS mahu mengekalkan beliau dengan sokongan UMNO, Dewan Negeri akan terbelah dua tanpa majoriti jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dalam keadaan sedemikian, Tan Sri Khalid mungkin akan meminta supaya pilihanraya diadakan di Selangor,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Jika pilihanraya mengejut diadakan, parti-parti komponen Pakatan Rakyat dijangka akan mengalami kekalahan; namun parti yang paling teruk terjejas ialah PAS.

Menurut beliau sekiranya PKR dan DAP mengalami kemerosotan sokongan 3% undi Melayu dan 10% undi bukan Melayu, kedua-duanya dijangka kehilangan kerusi di Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan Pelabuhan Klang di pihak PKR; manakala Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek bagi DAP.

Kerusi Pelabuhan Klang adalah kerusi yang disandang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam senario paling optimistik tanpa kemerosotan undi Melayu untuk PAS dan 15% penurunan sokongan bukan Melayu, parti tersebut dijangka kehilangan 7 kerusi iaitu Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat.

“Sekiranya sokongan bukan Melayu merosot sehingga 25% akibat kontroversi PAS, parti tersebut akan turut kehilangan Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras,” jelas Tony sambil menambah bahawa PAS hanya akan berjaya mengekalkan tiga kerusi.

Malah katanya lagi, tiga kerusi ini masih tidak selamat walaupun undi Melayu merosot sekadar 5% manakala undi bukan Melayu merudum sehingga 30%, PAS akan pastinya ‘bungkus’.

Tony turut menegaskan bahawa sekiranya pilihanraya mengejut diadakan, Pakatan Rakyat pastinya tidak akan mampu mengekalkan kedudukan mentadbir negeri, manakala yang akan menang besar pastilah Umno.

“Kedegilan PAS menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengundang pilihanraya mengejut yang akan menyebabkan Pas kalah teruk serta mengembalikan Selangor kepada Umno,” tegasnya lagi.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah bahawa Pas mestilah bersama-sama semangat Pakatan demi menunaikan janjinya kepada rakyat Selangor.

HANYA 5 DARI 22 CABANG SOKONG AZIZAH ? BUAT MALU SAJA


Dalam PKR Selangor terdapat 22 Cabang keseluruhannya.. oleh itu apabila hanya 5 Cabang yang mahukan Tan Sri Khalid dikenakan tindakan disiplin ini bermakna lagi 17 Cabang yang ada menyokong Khalid Ibrahim..

Kalau setakat 5 Cabang tu saja.. nak jadi apa?.. Anwar pasti akan bertanya nanti dari kesemua 5 Cabang itu berapa yang benar-benar aktif?

Kalau mesyuaratpun tak tentu hala.. ahli pun langsung tak bertambah, tak payah buang masalah! 

Nak buat kerja tu biarlah semuanya sepakat.. ini tidak nak mendesak tapi mendesak sebagai suara minoriti, nak jadi apa?

Punca sebenar apa agaknya yang menjadikan isu MB Selangor ini bertukar dari isu tempatan menjadi isu nasional?

Rasanya isu ini tak akan meleret-leret jika tindakan yang sewajarnya diambil dan dilaksanakan oleh Presiden PKR dan Ketua Umum dua tahun selepas PRU12 ketika pentadbiran Tan Sri Khalid mula dipertikaikan ramai pemimpin PKR Selangor..

Ianya juga mungkin tidak akan menjadi isu sebegini haru biru jika Tan Sri Khalid tidak dilantik semula sebagai MB Selangor sebagaimana yang telah dijanjikan bila ianya diusulkan oleh kebanyakkan pemimpin PKR Selangor kepada Presiden dan Ketua Umum..

Entah siapalah yang nasihatkan Ketua Umum dan Presiden PKR itu untuk kekalkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor untuk penggal yang kedua.. 

Sekarang.. dari dua pilihan PKR hanya ada satu lagi pilihan.. pilihan apa?.. bila ada masa aku tulis..

Laporan berkaitan..
Cabang PKR Selangor menggesa parti itu supaya mengenakan tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ekoran tindakannya sejak akhir ini yang membelakangkan pendirian dan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat PKR serta pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Cabang PKR Tanjong Karang Mohd Yahya Mat Sahri berkata, mereka menggesa parti terutama pimpinan tertinggi mendengar suara akar umbi yang sudah muak dengan permainan politik ala-Umno Khalid.
"Malah pelawaan Khalid agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PR membuat undi tidak percaya terhadap beliau cukup memalukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut menyokong kenyataan Yahya adalah Ketua Cabang PKR Sabak Bernam Abu Talip Bujang, Mohamad Fauzi Ahmad (Sungai Besar), Burhan Aman Shah (Sepang), dan Azizi Ayob (Kapar).
Mereka turut menyeru agar semua ahli PKR termasuk Adun dan Exco dalam pentadbiran Selangor pada waktu ini mengenepikan perbezaan pendapat serta bersatu hati dalam menyokong ketetapan Majlis Pimpinan Pusat pada 21hb Julai lalu, iaitu menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.
"Kami, ketua-ketua Cabang PKR Selangor serta anggota ingin mengumumkan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Dr Wan Azizah.
"Sebagai presiden parti yang juga Adun Kajang, beliau adalah calon paling kanan dan layak di kalangan Adun PKR lain di negeri Selangor untuk menjadi menteri besar," katanya.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan parti itu sudah memuktamadkan Dr Wan Azizah selepas namanya menjadi calon tunggal pengganti Khalid.
Anwar berkata, keputusan dibuat sebulat suara dan memuji isterinya itu boleh memberi kestabilan dalam PKR dan PR.
Beliau juga yakin Dr Wan Azizah mampu menyelesaikan isu-isu tertangguh termasuk masalah agihan air, projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu kritikal lain di Selangor.
Khalid bagaimanapun enggan berundur hingga akhir penggal dan mahu PKR menyelesaikan isu peralihan kuasa mengikut saluran betul.
Malah secara terbuka mengalu-alukan Adun mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN akan datang.
Anwar kemudiannya mendedahkan Khalid sudah lama tahu dirinya terlibat dalam sebahagian agenda “Langkah Kajang” yang mendesaknya supaya berundur sejak Mac lalu lapor The Malaysian Insider
sumber anak sungai derhaka

APAKAH PERPADUAN HANYA WUJUD KETIKA BERLAKU MALAPETAKA ?


Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menyeru rakyat Malaysia agar tidak hanya bersatu hati ketika berlaku tragedi MH17, tapi meneruskannya dalam kehidupan seharian agar keharmonian dapat dikekalkan.

Menurutnya, kesepakatan yang berlaku semalam apabila semua pihak sama ada dari kerajaan atau pembangkang sebulat suara menerima usul Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan cerminan perpaduan merentasi perbezaan yang wajar diteruskan.

Sehubungan itu, beliau memohon rakyat Malaysia supaya berhenti sejenak dan bertanya mengapa perpaduan serta kesepakatan antara sesama hanya dapat dicapai pada saat genting.

“Memang, kita semua bersatu dalam rasa kesedihan, hiba, memberi sokongan dan simpati kepada nasib keluarga mangsa, saudara-mara dan rakan-rakan termasuk pekerja-pekerja MAS.

“Tapi, kita juga harus berhenti seketika dan bertanya kenapa ia hanya mampu dilakukan apabila terdapat bencana serta malapetaka tetapi tidak dalam keadaan biasa. Kita mesti mengenang semula kebenaran dan pepatah ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

“Inilah masanya rakyat bercakap dalam bahasa perpaduan, kesederhanaan, toleransi dan keadilan. Bukan lagi perpecahan, ektremisme, kebencian dan ketidakadilan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, pelbagai kejadian berlaku sejak 14 bulan lalu yang menjurus kepada kebencian.

“14 bulan lalu, negara seolah-olah hilang arah dan menuju status ‘negara gagal’ dengan kejadian yang mendorong perpecahan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa negara ini tidak pernah melihat polarisasi kaum dan agama yang begitu teruk sekali semenjak Pilihanraya Umum tahun lalu,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua Ahli Parlimen untuk mengambil tindakan bersepakat yang ditunjukkan seperti semalam kepada agenda lebih jauh, iaitu kesatuan dan perpaduan bagi mengakhiri polarisasi kaum, agama serta ektremisme.

“Kedua-dua bencana udara (MH17 dan MH370), mengingatkan kita terhadap bahaya polarisasi kaum serta agama.

“Ia sekaligus membawa rakyat kembali kepada realiti dan hakikat bahawa, tanpa mengira perbezaan, kita adalah masyarakat Malaysia yang kekal bersatu untuk menghadapi cabaran di masa depan.

“Bolehkah manfaat daripada trauma dan kejutan kedua bencana ini kita jadikan iktibar untuk menamatkan retorik kaum dan agama 14 bulan lalu?” kata Kit Siang. – Roketkini.com

DI TEGUR KERANA SOLAT DI KOLASI PENGGAMBARAN


BAYAN BARU: Pelakon dan koreografer tarian, Adam Corrie mendedahkan beliau pernah ditegur dan dipandang serong kerana menunaikan solat berjemaah dengan isterinya di lokasi penggambaran.

Menurutnya, teguran secara terbuka dan dalam nada keras itu dibuat oleh rakan Islam sendiri yang merasakan tindakannya mengganggu jadual penggambaran.

"Apa salahnya saya dan isteri berjemaah kerana bukanya lama, sebentar saja.  

"Ayat yang dikatakan itu sampai sekarang masih  saya simpan sebagai kenangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada forum 'Kahwin Campur' anjuran Hidayah Centre Foundation di Komplek Tabung Haji, Bayan Baru malam tadi.

Mengakui kecewa dengan teguran diterima itu, beliau mengingatkan orang Islam agar menjadi contoh yang baik kepada saudara baru yang baru memeluk Islam.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang sentiasa menyokong dan memahami beliau sebagai saudara baru.

Menurut Adam, isteri beliau Fazima Mohd Fuad sentiasa berada disampingnya dan mengingatkannya tentang tanggungjawab agama.Harakah Daily 

KRISIS GAZA DUNIA MESTI PROTES


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang tersangat penting insiden keganasan, penindasan dan pembunuhan umat Islam yang semakin meruncing mutakhir ini.

KEADILAN berharap dan berdoa agar negara-negara Islam bersatu di saat ini, bertindak bersama membela dan melindungi umat Islam kita.

Kejadian yang menimpa umat Islam di Palestin, China dan Myanmar di dalam bulan Ramadhan yang suci ini, begitu begitu menyayat hati, di saat kemampuan kita untuk menghulurkan pertolongan terbatas.

Wan AzizahKEADILAN turut menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan negara-negara Arab untuk bersatu melindungi kesejahteraan umat Islam yang serantau.

Mutakhir yang berlaku di Palestin, meragut lebih 50 nyawa, lebih 300 yang cedera, banyak kediaman dan bangunan musnah akibat pengeboman tentera Israel yang tidak berperi kemanusiaan.

Sejak kejatuhan Presiden Mohammad Morsi, umat Islam di Gaza semakin tertekan kerana laluan masuk di pintu Rafah, untuk membolehkan bantuan kebajikan disampaikan, tersekat apabila Mesir menutup laluan tersebut.

9 Julai lalu, media melaporkan bahawa pintu Rafah dibuka di atas desakan PBB, namun kita tetap menggesa supaya tentera pengaman PBB ditempatkan di situ agar dapat memudahkan pengurusan bantuan kemanusiaan.

Dalam masa yang sama KEADILAN menggesa PBB bertindak segera menghentikan keganasan Israel di Gaza dan mendesak supaya tidak berlengah lagi menghantar delegasi ke Gaza untuk membuat tinjauan dan bantuan segera.

KEADILAN juga menggesa pemerintah Mesir sentiasa membuka pintu sempadan dan memudahkan urusan petugas bantuan kemanusiaan masuk untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa pengeboman Israel.

Apa yang berlaku di Palestin, turut berlaku di China. KEADILAN berasa amat kesal dengan kejadian penindasan yang berterusan terhadap umat Islam Uighur, sebagaimana dilapor media Aljazeera.

Selain daripada dinafikan hak untuk berpuasa, mereka dilaporkan dibunuh dengan kejam dan kaum wanita dirogol. Statistik ini telah dikemukakan kepada PBB, tetapi kita kesal tiada penyiasatan dibuat.

Terdapat laporan bahawa rekod kerajaan China terhadap umat Islam Uighur ini paling buruk sekali berbanding rekod layanan tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

KEADILAN juga menzahirkan kerisauan terhadap tindakan pembersihan etnik yang dilakukan junta  tentera terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.

PBB telah mengeluarkan statistik bahawa 80 peratus daripada pelarian di dunia adalah orang Islam. Ramai yang tidak bernegara, seperti Rohingya, tanpa kewarganegaraan atau hak kewarganegaraan.

Malah ada kalangan negara-negara umat Islam, sendiri menanggapi mereka sebagai pelarian dan dilayan sebagai penduduk kelas ketiga.

Umat Islam tidak seharusnya duduk berdiam diri apabila keganasan terus berlaku di Palestin, China dan Myanmar.

Justeru, marilah semua umat Islam berbuat apa yang mampu dan terdaya membantu rakan-rakan kita di Palestin, China dan Myanmar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

PENCIPTA MAGIC SPRAY BAKAL JADI JUTAWAN


Dibesarkan dalam kemiskinan dan kemudian menghadapi kebankrapan, Heine Allemagne kini kelihatan bersedia untuk menjadi jutawan, terima kasih kepada sihirnya menghilang semburan sepakan percuma.
Buih yang boleh di gunakan untuk '10 ela dan akan terhapus selepas 60 saat - dijangka digunakan di seluruh dunia dan telah pun sedang dipertimbangkan oleh pihak majikan Liga Perdana Inggeris.

Heine sangat teruja kerana ciptaannya berjaya digunakan dalam perlawanan pembukaan di Sao Paulo baru-baru ini.

Beliau berkata semburan yang digunakan di perlawanan ini adalah "saat ajaib" dan beliau telah menghabiskan masa  "14 tahun dalam hidupnya khusus untuk idea ini. 

Itulah tuah Hanie sekelip mata ciptaannya berjaya dan bakal menjadikan dirinya jutawan kerana ciptaannya ini akan digunakan di seluruh dunia. ~mirror

AWEK MELAYU CUN MELECUN KINI BERSAMA DAP


Populasi ‘awek cun’ di Parti Tindakan Demokratik nampaknya kian meningkat. Pasca pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang akhirnya maju ke depan dan dengan berani mengisi borang keahlian sebuah parti yang telah sekian lama difitnah sebagai parti ‘komunis’ dan ‘cauvinis cina’.

Terbaru, DAP menerima permohonan keahlian daripada seorang ikon anak muda yang boleh tahan popular sejak ditemui hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0. Young Syefura Othman, atau lebih mesra dipanggil Rara, mengisi borang keahlian DAP setelah menghadiri sesi dialog bersama pimpinan muda parti di ibu kota.

Anak gadis berusia 25 tahun ini merupakan anak perempuan tunggal daripada tujuh orang adik-beradik. Dia mendapat inspirasi politiknya daripada sang ibu yang merupakan seorang aktivis PAS.

“Kami turun perhimpunan Bersih satu keluarga,” ujarnya berkisah tentang pengalaman pertama kali menyertai perhimpunan aman membantah penipuan pilihanraya itu.


Rara bernasib baik kerana datang awal dan pulang awal, lalu tidak terkena asap gas pemedih mata atau ditembak air gatal. Beliau malah menjadi bualan anak-anak muda Malaysia setelah fotonya tersebar luas dan disebut-sebut sebagai salah satu ikon perhimpunan tersebut.

Kemasukan Rara ke dalam DAP disambut dengan reaksi bercampur-campur daripada berbagai pihak. Antara yang paling pantas memberi reaksi negatif pastinya pihak musuh yang dengan cepat melabel beliau, selain memuatnaik grafik kononnya Rara seorang pakar urut batin. Siap dengan alamat dan nombor telefonnya sekali.

“Saya menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang untuk wanita muda Melayu terutamanya,” kata beliau memberi penjelasan.

“Kita kekurangan pimpinan wanita muda. Kita mungkin ada Nurul Izzah dalam PKR, kalau PAS saya tidak pasti siapa. Kalau kenal pun Kak Aiman (Athirah)” tambahnya, sambil berkata kemasukannya ke dalam DAP adalah dengan cita-cita untuk mengajak lebih ramai wanita untuk turut ke depan dalam perjuangan mengembalikan demokrasi dan keadilan.

Minat beliau terhadap DAP bertambah rancak pasca fenomena Dyanamania yang melanda seluruh negara, di samping dasar parti yang menolak politik perkauman dan terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang apa pun.

“Semua kawan-kawan terkejut bila saya masuk DAP, semua orang asyik tanya, kenapa DAP?” tambahnya sambil memberitahu bahawa keluarganya menerima keputusan beliau dan faham benar dengan kiprah politik Rara serta memberikan beliau sokongan terus-menerus.

Hentaman dan serangan terhadapnya dianggap hal biasa. Poster dan grafik di laman-laman sosial memfitnah kononnya Rara mendaftar sebagai ahli seumur hidup DAP dan kononnya berhasrat menghapuskan hak-hak orang Melayu. Padahal Deklarasi Shah Alam yang dibuat pada 8 Januari 2012 jelas mempertuntukkan bahawa DAP “Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.”

“Tapi disebabkan saya macam dah terbiasa, saya biarkan sahaja,” ujarnya yang sebelum ini sudah pun pernah difitnah dengan pelbagai tuduhan pasca perhimpunan Bersih 3.0. “Bila saya kena sekali lagi waktu masuk DAP, saya sudah boleh bersedia. Saya ketawakan saja,” ujarnya menguntum senyuman.


Tidak kalah hebat ialah tuduhan bertalu-talu daripada pihak musuh kononnya DAP mempergunakan gadis-gadis cantik jelita untuk menarik kemasukan orang Melayu. Rara melihat tuduhan itu sebagai sesuatu yang positif kerana baginya pihak musuh sudah ketandusan ide untuk mencari kesalahan. Tetapi, hakikatnya, memang benar sudah ramai yang berminat untuk menyertai DAP.

Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Setelah sekian lama DAP dimomok-momok sebagai parti cauvinis Cina, kehadiran ‘awek-awek cun’ secara tiba-tiba meleburkan persepsi negatif tersebut, dan secara tidak langsung menarik minat orang ramai untuk mendekati parti yang dijaja-jaja musuhnya dengan pelbagai cerita karut.

Kekurangan wanita muda dalam aktivisme politik Malaysia bagi Rara adalah akibat daripada kerunsingan dan ketakutan untuk terlibat, selain disibukkan dengan urusan harian serta kurangnya sistem sokongan bagi mereka. Tambah-tambah pula yang bekerja dengan kerajaan.

“Mereka memang tidak berani menonjol, takut kalau apa-apa berlaku terhadap mereka,” jelasnya lagi, sambil berkata bahawa ketakutan kaum wanita yang meminggir daripada aktivisme mendorong beliau untuk lebih ke hadapan.

“Kita perlukan seseorang untuk ke depan dan menjadi contoh, pemimpin dan pembuka jalan.”

“Sekali kita maju setapak, orang yang di belakang akan ikut kita,” tambah beliau.

Ikuti bahagian kedua, kerunsingan anak muda, dan apa yang mereka boleh lakukan demi menyongsong perubahan. – Roketkini.com

SOLAT 2 IMAM KES TERPENCIL DI KELANTAN


KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyifatkan kes solat dua imam yang berlaku di sebuah pondok di Pasir Mas sebagai isu terpencil.

Bagaimanapun sekarang ia berjaya ditangani pihak berkuasa agama negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kedua-dua pihak yang terbabit diundang ke rumahnya bagi menyelesaikan isu tersebut pada 5 Julai lalu.

“Kita buat dua sesi iaitu sebelah pagi satu kumpulan dan satu kumpulan lagi selepas solat Zohor.

“Wakil-wakil Maik juga hadir termasuk pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) ketika perbincangan itu. Adun Gual Periok, Ustaz Ahmad Awang turut hadir,” katanya di sini.

Sejak kelmarin media tempatan melaporkan berlaku kejadian solat dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti.

Kejadian itu dilaporkan berlaku sejak 3 Julai lalu berpunca daripada berbezaan fahaman agama antara pemilik masjid dan penduduk kampung.

Nassuruddin berkata, hasil perbincangan itu akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menerima imam dari Jaheaik.

“Sembahyang dua imam tidak pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.

Bagaimanapun sekiranya ia tidak ditangani akan berlaku perkara yang lebih mudarat lagi pada masa akan datang.

“Untuk itu kita kena berhati-hati dengan fahaman yang dibawa masuk dari luar, sekiranya ia meragukan orang ramai hendaklah melaporkan kepada MAIK,” ujarnya.

Kata beliau masalah dua imam di Masjid Pondok Banggol Stol selesai 5 Julai lalu setelah Jaheaik menghantar pegawai agama jajahan Pasir Mas sebagai imam.

Katanya juga pegawai agama turut menyusun jadual imam bertugas solat tarawih, solat waktu sehingga solat Aidilfitri tidak lama lagi.harakah daily

MEMPERKASA MAHASISWA MELAYU


Untuk memperkasakan lagi mahasiswa Melayu, mereka harus membangunkan minda yang kritis. Dalam era ledakan maklumat ini, terdapat banyak berita dan informasi yang boleh digunakan dan diinterpretasi namun kesahihan dan kepenggunaannya harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

Tidak semua maklumat adalah benar, tidak semua maklumat bersifat neutral. Jika mahasiswa Melayu memperlengkapkan diri dengan kuasa minda yang kritis ia bukan saja dapat mententeramkan kehidupan keluarga, komuniti dan syarikat yang mnggajikannya ia juga akan dapat membangun dengan positif.

Terdapat enam tahap pengasahan minda kritis yang perlu dilalui dan dipraktik serta di praktis oleh mahasiswa Melayu.

Tahap pertama adalah untuk mendapatkan keseluruhan jalan cerita dan konteks seseuatu maklumat atau kejadian atau pernyataan. Tahap kedua mengidentifikasi sumber asal berita atau informasi tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan atau strategi. Dalam tahap ketiga mahasiswa perlu membuat pengujian kebolehyakinan terhadap sumber informasi dan berita tersebut.

Selepas itu, di tahap keempat perlu pula bertanyakan sama ada sumber informasi berita atau informasi tersebut boleh mendapat apa-apa keuntungan daripada penjelasan dan peyampaian berita dan infrormasi tersebut.

Tahap kelima pula adalah mengasingkan maklumat cerita dari interpretasi maklumat dan cerita yang disampaikan. Akhir sekali di tahap enam, apakah pertimbangan nilai kemanusiaan yang boleh diambil dalam membentuk proses tindakan dan kesimpulan daripada berita, maklumat atau data yang baru diperoleh itu?

Tahap 1: Memastikan keseluruhan cerita maklumat

Mahasiswa perlu memastikan ia faham dan tahu keseluruhan cerita sebenar. Contohnya jika ia diberitahu rakan yang meminjam keretanya itu mengakibatkan ia tercalar atau terguris, mahasiswa tersebut tidak sepatutnya melenting dan memarahi rakan tersebut. Rupa-rupanya ada motorsikal yang tergesel dengan badan kereta tersebut dan beredar tanpa mengambil tanggungjawab memberitahu keadaan sebenar.

Dalam isu politik dan masyarakat, kita sering mendengar tokoh politik Melayu memarahi kaum bukan Melayu kerana mengkritik Islam dan kedudukan Melayu. Jika mahasiswa itu tidak kritis mindanya maka ia juga akan terasa marah dan memusuhi kaum bukan Melayu. Jika disingkap keadaan keseluruhannya, tokoh bukan Islam itu sedang berbahas dengan tokoh Melayu yang mengguna kata kesat menghina kaum bukan Melayu dan agama mereka terlebih dahulu.

Tokoh bukan Melayu cuma bertindak balas secara manusia yang dihina sambil berkata terlanjur terhadap kaum Melayu dan Islam. Jika kita hendakkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni, pastikan maklumat yang diterima bersama dengan konteks percakapan atau perbuatan yang diketahui. Sebagai manusia yang banyak kelemahan, terdapat tokoh terlanjur kata secara tidak sengaja. Tetapi paling bahaya, terdapat tokoh politik yang sengaja hendak mengapi-apikan isu perkauman dengan berkata kesat dan menghina orang bukan Melayu dan bukan Islam supaya ia boleh melaporkan kritikan balas tanpa memberitahu konteks sebenar.

Tahap 2: Mengidentifikasi sumber sebenar

Acapkali kita menerima maklumat bukan sahaja yang menjadi secebis daripada cerita keseluruhannya, tetapi sumber yang menyampaikannya adalah bukan dari asal. Contohnya, pernah penulis mendapat maklumat daripada ibu mertua yang orang India dan Melayu bergaduh berpukul-pukulan antara mereka. Bila ditanya sumber maklumat tersebut, ia berpunca daripada penghulu kampung ibu mertua yang di Kajang.

Dari manakah penghulu itu mendapat tahu tentang kejadian yang berlaku 20 km dari Kajang? Rupanya ia bercakap dengan saudaranya dari telefon bimbit. Saudaranya pula mendapat berita dari sahabat yang lain. Jika ditinjau, tiada satu pun sumber maklumat tersebut nampak apa yang berlaku secara sendiri tetapi hanya menerima maklumat tersebut. Rupa-rupanya apabila disiasat, ia cuma berlaku pergaduhan antara jiran tetangga orang India dan orang Melayu cuba bantu leraikan. Jika kita tidak prihatin tentang sumber maklumat maka akan terjadi ketegangan antara kaum di Malaysia. Mahasiswa yang minda kritis akan menunggu dan tidak menghukum apa-apa selagi sumber sahih tidak dijunpai.

Tahap 3: Kebolehpercayaan sumber

Persoalan seterusnya adalah terhadap kebolehpercayaan sumber. Jika kita menjumpai sumber asal sesuatu kejadian atau peristiwa, penting untuk menilai sama ada sumber tersebut boleh dipercayai atau tidak. Pertamanya, adakah sumber tersebut suka bergurau dan sering mereka cerita untuk menjadi bahan tertawa? Atau adakah sumber mudah terlupa dan suka menokok tambah cerita untuk menyedapkan pemberitahuan peristiwa tersebut?

Atau sumber cerita adalah orang yang kurang pendidikan dan kurang memahami apa didengar atau dilihat. Semua jenis sumber ini boleh menjadi alasan maklumat yang diterima adalah sesuatu yang disyaki kesahihannya. Ahli hadis amat prihatin tentang perkara ini sehinggakan setiap perawi dijadikan kajian terhadap kekuatan fikirannya, ketajaman ingatannnya dan kebolehpercayaan riwayatnya. Mahasiswa Melayu yang cemerlang harus menteliti siapa sumber maklumat sensitif yang bakal menjadi malapetaka jika penerimaannya dibuat tanpa usul periksa.

Satu lagi aspek penilaian sumber adalah dengan mendapatkan sumber lain terhadap peristiwa yang didengari. Dalam media massa, terdapat pelbagai sudut berita yang sama disampaikan. Contohnya, pernah dilaporkan ceramah politik itu dihadiri hanya 200 orang. Perkara itu benar kerana pelapor itu hanya berada di situ pada awal ceramah. Tetapi di akhir ceramah terdapat 20,000 orang yang hadir.

Mahasiswa perlu memastikan yang ia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua sumber berlainan dalam isu sosial, politik dan agama. Jangan bergantung pada satu maklumat saja. Satu cara yang baik adalah jangan mendengar secara serius berita yang mengkritik seorang pemimpin politik tanpa memberi peluang ahli politik tersebut memberi jawapannya sendiri dalam TV, media perdana dan sebagainya.

Dewasa ini, TV dan media massa perdana seringkali membuat tuduhan liar tanpa memberi peluang yang dituduh menjawab tuduhan dengan adil dan jelas. Selaku ahli akademik saya menolak terus terang budaya menuduh dan melapor sedemikian rupa dri mana-mana sumber media sekalipun.

Tahap 4: Menilai niat dan kesahihan sumber

Tidak cukup dengan sifat kebolehpercayaan sumber, mahasiswa harus juga meneliti persoalan adakah maklumat yang disampaikan sumber itu akan ‘memenangkan’ dirinya. Berita yang sahih perlu datang dari sumber tidak mempunyai kepentingan apa-apa dalam menyampaikan berita tersebut. Apabila terdapat kepentingan sesuatu pada penyampai berita seharusnya mahasiswa perlu berhati-hati tidak terjebak dengan strateginya menewaskan parti lawan. Walaupun secara dasarnya tidak menjadi kesalahan kita menyampaikan berita yang mana ia boleh mendatangkan keuntungan, namun niat seseorang harus dilihat jika terdapat suatu muslihat dalam penyampaian maklumat. Soalan pertama yang perlu ditanya dalam hal ini adalah, apakah sebabnya seseorang itu menyampaikan berita tersebut? Adakah ia bagi kepentingan semua atau untuk orang itu sahaja?

Tahap 5: Menilai di antara fakta dan tafsiran

Perkara yang amat merbahaya sekali yang seringkali terjadi adalah percampuran maklumat berita dengan interpretasi berita. Contohnya, jika sebuah berita media massa menjerit dengan ayat sebesar-besarnya “Bukan Islam menghina Islam!” maka harus disebutkan di sini tajuk berita itu adalah sebenarnya satu tafsiran berita dan bukan berita. Apakah berita sebenar? Mungkin terdapat beberapa orang bukan Islam yang meminta sebuah masjid memperlahankan khutbah Jumaat, Ceramah Masjid dan Azan Subuh dan ini ditafsirkan oleh pembawa berita tadi sebagai ‘menghina Islam’.

Di Amerika Syarikat, bacaan Al-Quran waktu sebelum Subuh tidak dilaungkan sekuat-kuatnya tetapi hanya didengari dalam perkarangan masjid sahaja. Ceramah dan Khutbah tidak harus menjadi bahan gangguan kepada orang bukan Islam dan Rasul sendiri mengingati umat Islam berdakwah dengan berhemah. Bacaan Al-Quran sebelum Subuh tidak berkumandang walau di Mekah atau Madinah. Di tanah suci, Azan dilaungkan dua kali untuk membangunkan umat Islam dan bukannya cara orang Melayu yang memasang pita rakaman selama setengah jam. Perkara ini bukan saja mengganggu orang bukan Islam tetapi mengganggu wanta Islam yang tidak boleh bersembahyang, bayi dan mereka yang uzur. Maka itu interpretasi berita dengan berita asal wajib diasingkan oleh mahasiswa yang berminda kritis dan berhati ikhlas.

Tahap 6: Niat kita terhadap maklumat

Akhir sekali adalah persoalan apakah yang akan mahasiswa guna bagi maklumat atau berita yang disampaikan? Pertama, jika terbukti berita itu tidak sahih walau dari jalan cerita, sumber atau maklumat, maka mahasiswa tidak boleh menyampaikan berita tersebut. Pernah berlaku wanita dalam sebuah parti politik menunjuk-nunjukkan gambar seorang tokoh Islam parti lawan yang dikatakan sedang berdansa walhal dibuktikan itu fitnah daripada teknik photoshop.

Kalau kita tidak pasti tentang maklumat seperti gambar atau berita, kita tidak boleh menyebarkannya kerana ia jatuh dosa fitnah. Kalau berita itu benar kesahihan serta sumbernya harus dilihat adakah berita ini boleh mendatangkan malu besar pada orang yang dalam berita itu? Seharusnya berita sedemikian perlu dilaporkan pada pihak berkuasa dan kita tidak boleh menyampaikan perkara tersebut sebagai suka-suka saja atau untuk memenangkan parti yang disokong. Walaupun terbukti kesalahan seseorang yang dalam berita, Islam tidak membenarkan kita memburuk-burukkan orang tersebut. Bagaiamanapun, jika kita berniat untuk membaiki situasi orang tersebut dengan menceritakan berita sensitif itu pada pihak ketiga maka ia amat dibolehkan.

Minda kritis adalah alat atau senjata yang boleh memastikan keharmonian dalam keluarga, persahabatan, komuniti dan politik negara. Dalam suasana individu dan pihak daripada golongan atau parti tertentu sedang giat membuat tuduhan liar dan mengumpan rakyat untuk menyebelahi mereka, mahasiswa Melayu harus bangun mempertahankan kedaulatan cara hidup kita berpandukan tatasusila rukunegara dan sunnah Rasulullah.

Hanya minda yang tajam dan hati yang ikhlas dapat membedakan maklumat dan berita sebagai fitnah atau informasi yang boleh mendatangkan manfaat ramai. Daripada sudut sosial, minda kritis adalah penghubung antara kaum dan agama dan ia perlu digunakan dengan cara sebaik mungkin.

Daripada sudut spiritual, minda kritis membebaskan pendengar atau pembaca berita atau maklumat dosa fitnah atau mengumpat. Ia juga menjadikan dada mahasiswa lapang menerima kelemahan semua manusia dan sentiasa memohon pertolongan Allah bagi menjernihkan selalu persepsi terhadap berita dan maklumat.

Bagi syarikat yang memiliki pekerja berminda kritis, maka ia akan dipercayai untuk meneraju kumpulan khusus dalam syarikat tersebut atau pun ia mungkin diberikan jawatan pengurus cawangan. Mahasiswa yang mempunyai mindakritis bukan saja dapat membaca strategi pemasaran lawan tetapi juga dapat merangka strategi yang lebih bermakna. – 9 Julai, 2014 malaysian insider