KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyifatkan kes solat dua imam yang berlaku di sebuah pondok di Pasir Mas sebagai isu terpencil.
Bagaimanapun sekarang ia berjaya ditangani pihak berkuasa agama negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kedua-dua pihak yang terbabit diundang ke rumahnya bagi menyelesaikan isu tersebut pada 5 Julai lalu.
“Kita buat dua sesi iaitu sebelah pagi satu kumpulan dan satu kumpulan lagi selepas solat Zohor.
“Wakil-wakil Maik juga hadir termasuk pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) ketika perbincangan itu. Adun Gual Periok, Ustaz Ahmad Awang turut hadir,” katanya di sini.
Sejak kelmarin media tempatan melaporkan berlaku kejadian solat dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sejak 3 Julai lalu berpunca daripada berbezaan fahaman agama antara pemilik masjid dan penduduk kampung.
Nassuruddin berkata, hasil perbincangan itu akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menerima imam dari Jaheaik.
“Sembahyang dua imam tidak pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.
Bagaimanapun sekiranya ia tidak ditangani akan berlaku perkara yang lebih mudarat lagi pada masa akan datang.
“Untuk itu kita kena berhati-hati dengan fahaman yang dibawa masuk dari luar, sekiranya ia meragukan orang ramai hendaklah melaporkan kepada MAIK,” ujarnya.
Kata beliau masalah dua imam di Masjid Pondok Banggol Stol selesai 5 Julai lalu setelah Jaheaik menghantar pegawai agama jajahan Pasir Mas sebagai imam.
Katanya juga pegawai agama turut menyusun jadual imam bertugas solat tarawih, solat waktu sehingga solat Aidilfitri tidak lama lagi.harakah daily
No comments:
Post a Comment