APAKAH PERPADUAN HANYA WUJUD KETIKA BERLAKU MALAPETAKA ?


Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menyeru rakyat Malaysia agar tidak hanya bersatu hati ketika berlaku tragedi MH17, tapi meneruskannya dalam kehidupan seharian agar keharmonian dapat dikekalkan.

Menurutnya, kesepakatan yang berlaku semalam apabila semua pihak sama ada dari kerajaan atau pembangkang sebulat suara menerima usul Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan cerminan perpaduan merentasi perbezaan yang wajar diteruskan.

Sehubungan itu, beliau memohon rakyat Malaysia supaya berhenti sejenak dan bertanya mengapa perpaduan serta kesepakatan antara sesama hanya dapat dicapai pada saat genting.

“Memang, kita semua bersatu dalam rasa kesedihan, hiba, memberi sokongan dan simpati kepada nasib keluarga mangsa, saudara-mara dan rakan-rakan termasuk pekerja-pekerja MAS.

“Tapi, kita juga harus berhenti seketika dan bertanya kenapa ia hanya mampu dilakukan apabila terdapat bencana serta malapetaka tetapi tidak dalam keadaan biasa. Kita mesti mengenang semula kebenaran dan pepatah ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

“Inilah masanya rakyat bercakap dalam bahasa perpaduan, kesederhanaan, toleransi dan keadilan. Bukan lagi perpecahan, ektremisme, kebencian dan ketidakadilan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, pelbagai kejadian berlaku sejak 14 bulan lalu yang menjurus kepada kebencian.

“14 bulan lalu, negara seolah-olah hilang arah dan menuju status ‘negara gagal’ dengan kejadian yang mendorong perpecahan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa negara ini tidak pernah melihat polarisasi kaum dan agama yang begitu teruk sekali semenjak Pilihanraya Umum tahun lalu,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua Ahli Parlimen untuk mengambil tindakan bersepakat yang ditunjukkan seperti semalam kepada agenda lebih jauh, iaitu kesatuan dan perpaduan bagi mengakhiri polarisasi kaum, agama serta ektremisme.

“Kedua-dua bencana udara (MH17 dan MH370), mengingatkan kita terhadap bahaya polarisasi kaum serta agama.

“Ia sekaligus membawa rakyat kembali kepada realiti dan hakikat bahawa, tanpa mengira perbezaan, kita adalah masyarakat Malaysia yang kekal bersatu untuk menghadapi cabaran di masa depan.

“Bolehkah manfaat daripada trauma dan kejutan kedua bencana ini kita jadikan iktibar untuk menamatkan retorik kaum dan agama 14 bulan lalu?” kata Kit Siang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment