Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar pengundi Cina tidak mengenang budi kerana mengundi DAP tidak masuk akal kerana wakil rakyat bukan Melayu juga boleh mempertikaikan isu sama kepada pengundi Melayu, kata Teresa Kok.
Naib presiden DAP itu berkata, apa yang dilontarkan Zahid tidak mencerminkan dirinya sebagai menteri Kabinet sebaliknya seperti orang yang tidak menerima pendidikan awal.
“Semalam, kita baca Zahid kata peniaga Cina yang pilih DAP tidak kenang budi kerana orang Melayu dan India yang membeli barang, tetapi akhirnya peniaga Cina undi DAP.
“Saya selalu makan di kedai Melayu, jadi kalau orang Melayu tidak mengundi saya, bolehkah saya kata mereka tidak kenang budi kerana saya makan dan beli barang daripada peniaga Melayu. Bolehkah?
“Dia (Zahid) bercakap seperti pakcik tak masuk sekolah, tetapi dia menteri Kabinet. Bukannya orang kampung yang tidak pernah ke sekolah,” katanya ketika berucap di depan penduduk Teluk Intan di Jalan Mahkota, malam tadi.
Zahid pada Isnin menggelar kaum Cina di Malaysia yang masih mengundi DAP sebagai tidak bersyukur selepas kukuh dalam kedudukan ekonomi.
"Melayu dan India yang membantu ahli perniagaan Cina. Tetapi apabila mereka mengundi, mereka memilih DAP. Mereka tidak bersyukur," kata Zahid memberitahu penduduk Melayu di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.
Kok berkata, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong perlu menyatakan pendiriannya sama ada bersetuju dengan kenyataan Zahid atau tidak.
Katanya, dakwaan Mah sebelum ini yang tidak mahu bertanggungjawab dengan janji menteri Kabinet di Teluk Intan menggambarkannya mahu melepaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Kita mahu Mah jawab sama ada setuju atau tidak dengan kenyataan Zahid.
“Semalam, Mah kata, semua janji dalam Kabinet bukan janjinya. Dia tidak perlu bertanggungjawab. Maaflah, orang Gerakan cakap dengan kita, kalau Mah menang dia akan jadi menteri.
“Kalau dia bakal menteri, menteri yang buat janji, berikan tanggungjawab kepadanya,” katanya.
sumber