ANWAR TEMPELAK MUHYIDDIN TIDAK PATUT TIMBULKAN KETAKUTAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya menghayati bulan Ramadan dan bukannya menimbulkan rasa takut rakyat dengan amaran rusuhan kaum 13 Mei, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata Muhyiddin selaku timbalan perdana menteri sewajarnya menganjurkan persefahaman antara kaum dan bukannya terus menakut-nakutkan rakyat.

"Muhyiddin sebagai pemimpin negara sepatutnya memupuk kerjasama dan persefahaman terutama pada bulan berkat, bulan Ramadan. Beri contoh yang baik bukan timbul rasa takut.

"Dia tidak patut menganjurkan budaya ketakutan, tetapi tradisi persefahaman," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat terawih di Saujana Impian, Kajang malam tadi.
Semalam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, umat Islam di Malaysia sememangnya berdepan ancaman seperti yang dibimbangi Muhyiddin.

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata terdapat bukti dan perancangan tersusun bertujuan untuk menekan agama Islam dan kaum Melayu di Malaysia.

"Sememangnya terdapat bukti kukuh di mana pihak tertentu sedang memaksa kehendaknya ke atas orang Melayu Islam dan menafikan kedaulatan mereka serta hak mereka yang dijamin perlembagaan," kata Abdullah dalam satu kenyataan.

Muhyiddin baru-baru ini berkata, kedudukan Islam terancam apabila pihak tertentu mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan pelaksanaan undang-undang oleh Mahkamah Syariah.

Sebelum itu, Utusan Malaysia juga melaporkan Muhyiddin menyatakan kebimbangan sekirangnya ketegangan antara kaum tidak ditangani dengan baik, kemungkinan insiden berdarah (13 Mei, 1969) akan berulang.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata pelan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak akan berjaya sekiranya agensi yang bernaung di bawahnya tidak memberikan tumpuan yang lebih.

Katanya, perencanaan lebih rapi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan pantai timur Sabah lebih terjamin.

"Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu beri tumpuan yang lebih. Ini soal keselamatan negara dan keutamaan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan kerana tugas mereka tetapi perencanaan kerajaan patut lebih tegas," katanya kepada The Malaysian Insider.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Esscom akan distruktur semula berikutan banyak kritikan berhubung kegagalan agensi itu menghalang pencerobohan Sabah.

Katanya, Esscom akan dipisahkan menjadi dua komponen iaitu Pengurusan Pertahanan dan Keselamatan serta Komponen Penguatkuasaan dan Tindakan Awam.

Esscom meliputi kawasan sepanjang 1,400km pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

Ia ditubuhkan pada Mac 2013 oleh perdana menteri susulan insiden pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Sulu tahun lalu.Sambung SINI 

No comments:

Post a Comment