SELAMATKAH BANGUNAN DI SEKITAR JALAN IMBI ?


Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng membangkitkan persoalan berhubung status keselamatan bangunan berhampiran terowong Jalan Imbi yang runtuh.

Ini berikutan sebahagian struktur terowong bawah tanah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di simpang empat Jalan Imbi tenggelam lima meter setelah berlaku mendapan tanah, dipercayai berpunca paip air bawah tanah yang pecah.

“Ramai yang bertanya, adakah bangunan seperti Plaza Imbi dan Times Square selamat untuk dikunjungi.

“Jadi, perlu ada notis bagi memaklumkan tahap keselamatan dan tindakan susulan untuk orang ramai bagi menjelaskan keadaan sebenar,” kata Lim kepada Roketkini.

Kira-kira jam 10.30 pagi ini, terowong bawah tanah sepanjang 35 meter runtuh dengan kesan tanah jerlus sepanjang hampir 19 meter, dipercayai akibat paip air Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang pecah.

Perkhidmatan monorel antara Stesen Hang Tuah ke Stesen Bukit Bintang dihentikan sementara waktu kerana ada tiang landasan monorel yang terletak berhampiran kawasan runtuhan.

Kejadian ini menjadi topik perbualan hangat media sosial, selain mengundang kebimbangan terutamanya kepada pengguna kenderaan awam terutamanya perkhdimatan Monorel.

Terowong yang masih dalam pembinaan itu mempunyai empat laluan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi, dengan menghubungkan laluan kenderaan dari Jalan Pudu hingga menghala ke Jalan Tun Hussein.

Justeru, Lim yang juga Ahli Parlimen Segambut menggesa pihak berwajib sentiasa memastikan kontraktor binaan mengutamakan keselamatan terutama melibatkan orang awam.

“Pihak berwajib seperti DBKL perlu mengetatkan piawaian agar kontraktor sentiasa memastikan tapak projek mereka selamat. Insiden seperti ini boleh membahayakan keselamatan orang ramai,” katanya.

Pada 26 Jun, sebatang cerucuk keping (sheet pile) di tapak pembinaan Stesen MRT Pusat Bandar Damansara jatuh menimpa sebuah kereta yang sedang bergerak.

Ekoran kemalangan itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) membuang subkontraktor dan pekerja di tapak berkenaan.roketkini

No comments:

Post a Comment