LGBT MEREKA JUGA PUNYA HAK


Kumpulan aktivis hak asasi manusia menggesa Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (NUCC) tidak tunduk kepada desakan politik bagi mengeluarkan klausa yang melindungi hak seksual kumpulan minoriti dalam Akta Keharmonian Nasional.

Aktivis yang terlibat dengan isu lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) berkata, komuniti LGBT di Malaysia layak dilindungi daripada diskriminasi dan mengeluarkan peruntukan berkenaan menjadikan Malaysia ketinggalan.

Pengasas Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS) Angela M Kuga Thas berkata, NUCC seharusnya bertanggungjawab meletakkan draf terbaik akta berkenaan yang menawarkan perlindungan kepada semua bagi melindungi keharmonian negara tanpa memberi kesan kepada keselamatan LGBT.

"Saya secara jujurnya mengharapkan mereka berpegang kepada asasnya, iaitu kenapa rundingan dilakukan dengan pelbagai kumpulan, jika tewas daripada tujuan asalnya dan akan menjadi sindiran kepada Perlembagaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, NUCC tidak seharusnya mendengar pendapat yang membantah dan cuba mencetuskan ekstremisme dan kebencian dengan desakan mengeluarkan peruntukan tersebut yang melindungi hak seksual komuniti minoriti.

Peruntukan 7(1)(ii) daripada akta yang dicadangkan menyatakan kerajaan dan semua pihak tidak seharusnya melayan dan mendiskriminasi mana-mana individu secara seksual, termasuk orientasi seksual dan identiti.

Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja NUCC berkenaan polisi dan undang-undang Lim Chee Wee berkata, mereka mungkin akan mengeluarkan peruntukan berkenaan kerana mendapat bantahan daripada ahli politik.

"Beberapa parti politik membantahnya, jadi ada ketidaktentuan (sama ada ia akan termasuk dalam draf akhir atau tidak)," katanya, yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

"Sudah tentu NUCC percaya ia perlu kekal, untuk sebab yang munasabah. Namun, ada perdebatan besar berhubung perkara itu kerana beberapa segmen masyarakat mahu menghapuskan (kumpulan) minoriti seksual,” katanya.

Selain akta itu, NUCC juga mendraf Akta Jenayah Kebencian Agama dan Kaum - menggariskan kesalahan seperti ucapan kebencian, dan Akta Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Harmoni Kebangsaan yang membentuk skop badan berkenaan bagi mendengar pertikaian diskriminasi sebelum dibawa ke mahkamah.

Semua akta yang dicadangkan itu bakal menggantikan Akta Hasutan 1948.

Jellene Eva, aktivis transgender bersama Justice for Sisters memberi amaran penyingkiran klausa berkenaan bakal menguatkan diskriminasi terhadap kominiti LGBT.

Diskriminasi dan undang-undang yang tidak melindungi komuniti dan mempunyai klausa dalam akta berkenaan selangkah melindungi kumpulan minoriti seksual.

"Dengan mengeluarkannya bermakna kita selangkah ke belakang, bukan ke depan. Kita menghalang mereka menjadi lebih progresif. Satu dunia kini menghormati semua pihak tanpa mengira kaum dan luaran mereka dan kita memilih untuk berundur," katanya.

Beliau berkata, NUCC seharusnya mendengar pendapat banyak pihak berbanding hanya ahli politik.


Pengasas Seksualiti Merdeka Phang Khee Teik (gambar) berkata, tindakan NUCC mendedahkan kekurangan pemahaman mereka apa itu diskriminasi dan bagaimana ia memberikan kesan kepada orang ramai.

"Akta yang dicadangkan itu membenarkan satu kumpulan menentukan siapa yang perlu dilindungi dan siapa yang tidak. Ini bermakna, mereka sebenarnya menguatkuasakan diskriminasi melalui akta itu dan memberikan mesej adanya kumpulan yang tidak perlu dilindungi," katanya.

Dengan pengeluaran klausa itu, Phang memberi amaran akan berlakunya "musim terbuka" terhadap komuniti LGBT yang membenarkan orang ramai mendiskriminasi dan menekan mereka.malaysianinsider

No comments:

Post a Comment