Bulan Ramadhan mengajar kita untuk bersyukur, serta mengingatkan kita terhadap permasalahan yang dihadapi oleh mereka yang tidak bernasib baik. Amalan bersedekah serta memberikan makanan kepada orang yang berpuasa amat digalakkan. “Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun ,” (Hadith Riwayat Tirmidzi).
Berikutan kenyataan saya sebelum ini, alangkah terkejutnya saya apabila melihat berita utama laman Malay Mail Online yang mengatakan ‘soup kitchen’ yang menyediakan makanan bagi orang gelandangan yang berada dalam ibu negara perlu berpindah sebelum hari Isnin, ataupun berdepan dengan hukuman denda. Beliau juga dipetik sebagai berkata, sebarang NGO dilarang menjalankan aktiviti memberikan makanan kepada orang gelandangan di lingkungan 2km dari Gedung Lot 10.
Tugas pertama yang saya pinta Menteri Wilayah lakukan adalah membaca laporan Jayannath Appudurai dari Centre For Policy Initiatives untuk memahami dimensi kemiskinan yang lebih memperlihatkan keprihatinan realiti semasa. Laporan tersebut menegaskan pada tahun 2009 bahawa; jika kadar kemiskinan negara berdasarkan Poverty Line Income (PLI), diukur kembali menggunakan kaedah “median income” seperti yang dilakukan di UK dan Australia, kos sara hidup sehari akan berubah dari RM5.80 sehari (mengikut PLI sekarang,RM 800 seisi rumah) kepada RM 14.20 sehari. Ini bermakna statistik kemiskinan seisi rumah akan meningkat kepada 33.4% berdasarkan PLI baru RM2000.
Tugas kedua pula adalah supaya Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kalaupun tidak mampu untuk cuba hidup seperti orang gelandangan sebanyak 3 hari dalam usaha untuk memahami akan kesusahan golongan terpinggir; sekurang-kurangnya hadir sekali bersama dalam sesi sumbangan salah sebuah NGO Soup Kitchen sebelum memberi kata putus. Saya menjemput Yang Berhormat Menteri agar bersama saya dan salah sebuah NGO Soup Kitchen yang akan beroperasi malam esok. Kita harus memiliki empati, lebih lagi sebagai seorang pemimpin.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan. ” Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sendiri, pengajaran hadith ini ialah “setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.”
Adakah tindakan Yang berhormat Menteri ini bersesuaian dengan semangat Ramadhan yang telah diajar oleh Rasulullah? Sekali lagi saya ingin menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan agar memperbetul kesilapan yang melampau ini.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN
No comments:
Post a Comment