TENGKU ADNAN GAGAL KENAL PASTI PUNCA MENGEMIS


Islam menganjurkan penganutnya bersedekah sehingga diganjarkan dengan pahala yang berganda. 

“Amalan mulia ini, selain dapat meringankan bebanan kesusahan si penerima, ia juga sebagai proses menyucikan harta, tingkatkan perasaan pemurah dan kembangkan harta si pemberi,” kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang menyatakan akan mengenakan hukuman ke atas peminta dan pemberi sedekah semata-mata atas alasan perbuatan tersebut mencemarkan imej ibu negara dan bagi mengurangkan budaya mengemis.

Katanya, kenyataan itu adalah tidak bertepatan dengan anjuran Islam dan memperlihatkan kegagalan menteri mengenal pasti punca sebenar gejala itu apatah lagi untuk mengkehadapankan solusi bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut beliau, fenomena mengemis di ibu kota itu sebenarnya adalah manifestasi dari dua kegagalan Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu mengatasi kemiskinan bandar dan menangani sindiket peminta sedekah di Bandaraya Kuala Lumpur.

Tambahnya, tindakan mengenakan hukuman ke atas pemberi dan peminta sedekah tidak akan secara tuntas dapat membersihkan imej Kuala Lumpur dari budaya mengemis.

Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian memberi fokus penuh kepada dua isu ini bagi memulihkan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang makmur dan sejahtera dengan warganya yang memiliki taraf sosio-ekonomi yang seimbang sesuai dengan pembangunan fizikal dan perkhidmatan perbandaran yang disediakan di bandaraya itu.

Katanya lagi, pusat-pusat perlindungan gelandangan perlu diwujudkan di ibu kota bagi menempatkan para pengemis, mengelakkan pengemis daripada berkeliaran dan sekaligus menjaga kebajikan pengemis-pengemis ini termasuk dengan memberi pendidikan dan latihan kemahiran kepada mereka bagi membebaskan diri daripada belenggu kesusahan hidup. 

DBKL dan MAIWP pula, ujarnya tanpa menunggu para gelandangan ini membuat permohonan, perlu bekerjasama bagi menjejak para gelandangan dan menghulurkan bantuan keperluan kepada mereka.

“Dengan demikian, barulah imej Kuala Lumpur dapat bebas dari budaya mengemis sekaligus meningkatkan taraf hidup warganya,” katanya.harakahdaily

No comments:

Post a Comment