Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini mengingatkan pemimpin MCA dan Gerakan tidak layak untuk menganggotai Kabinet atas prestasi buruk mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.
Pensyarah kontroversi itu turut menyelar slogan yang selama ini didukung DAP iaitu ‘Malaysian Malaysia’ tidak akan berjaya dalam membentuk perpaduan nasional.
“Perpaduan nasional tidak akan melalui perjuangan Malaysian Malaysia.
“Jika adil itu 1=1, maka MCA dan Gerakan tidak layak untuk mendapatkan kerusi Kabinet dalam keadaan persembahan mereka dalam PRU13 amat buruk,” katanya menerusi kolum di akhbar Sinar Harian yang bertajuk ‘Tidak Semua Cina Ultra Kiasu’.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada bulan lalu, melantik Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagaimana dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei.
Beliau turut melantik Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menteri pengangkutan dan Datuk Wee Ka Siong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga lagi naib presiden MCA – Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun – masing-masing dilantik timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ridhuan juga mendakwa, masalah yang berlaku dalam Gerakan disebabkan beberapa pemimpin MCA yang mendominasi parti itu sehingga menampakkan ia seolah-olah parti perkauman.
Katanya, bagi membaiki persepsi sedemikian Gerakan perlu dilihat lebih relevan berbanding MCA dengan tidak hanya mewakili kaum tertentu.
“Pemuda Gerakan dari awal mengatakan mereka bukan parti perkauman tetapi untuk semua kaum. Gerakan mahu kembali kepada landasan asal untuk semua kaum.
“Jika begitulah keadaannya, Gerakan mesti dapat membuktikan ia berbeza dan lebih relevan berbanding MCA. Suara Gerakan mesti suara Malaysia, bukan suara perkauman,” katanya menerusi akhbar itu.
Pertengahan bulan lalu, Biro Keharmonian Agama MCA menyelar kenyataan kontroversi Ridhuan kerana mampu mencetuskan kebencian antara penganut agama Kristian dan Buddha.
Timbalan pengerusinya Ng Chok Sin berkata, Ridhuan sepatutnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan setelah mendakwa penganut Kristian di Malaysia tidak layak mendapat gereja terbesar di Malaysia memandangkan hanya 10% daripada mereka berada di Malaysia.
Pengacara program Dunia Pencetus Ummah itu turut memberikan definisi ultra kiasu yang selama ini menjadi rujukannya dalam penulisan di akhbar berkenaan.
Katanya, bukan semua orang Cina adalah ultra kiasu tetapi ia merujuk kepada sesiapa saja selama ini yang menentang agenda nasional.
“Tulisan saya tidak melakukan serangan kepada semua orang Cina. Tidak semua Cina itu ultra kiasu. Masih ramai orang Cina yang baik.
“Ultra kiasu yang setiap kali saya maksudkan adalah merujuk kepada mereka yang menentang agenda nasional seperti termaktub dalam Perlembagaan negara. Tidak kira, sama ada mereka Melayu, Cina, India atau sesiapa pun.
“Agenda nasional adalah agenda yang dipersetujui bersama, seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, dan lain-lain berkaitan,” katanya seperti disiarkan Sinar Harian.
Ridhuan berkata, pada bulan lalu satu pertemuan tertutup bersama Pemuda Gerakan diadakan dan pelbagai soalan ditanyakan tentang penulisannya yang dikatakan sering mengecam orang Cina.
Katanya, selepas penjelasan diberikan yang menyatakan penulisannya lebih ke arah perpaduan nasional, Pemuda Gerakan akhirnya kini memahami tujuan Ridhuan.
“Pemuda Gerakan bertanyakan soalan bertubi-tubi dan mahukan jawapan, kenapa saya selalu dilihat melakukan serangan kepada orang Cina dan melabelkan mereka sebagai ultra kiasu? Tidakkah lebih baik menulis menyeru kepada perpaduan nasional?
“Saya tidak menanamkan kebencian. Tidak ada ertinya saya menganut agama Islam, jika saya mengajak umat Islam membenci mereka yang tidak ultra kiasu.
“Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan salah faham ini. Alhamdulillah, Pemuda Gerakan mula memahami dan mengenali saya,” katanya yang akan mengambil kira nasihat Pemuda Gerakan.malaysianinsider
No comments:
Post a Comment