PEMUDA UMNO WILAYAH SOKONG KU NAN HALAU PENGEMIS & GELANDANGAN


Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyokong usaha Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membasmi pengemis dan golongan tidak berumah di ibu negara.

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata kerajaan melakukan pelbagai cara untuk membantu golongan berkenaan, namun disebabkan sifat mudah mengalah mereka program itu gagal.

"Rekod sebelum ini pernah menunjukkan golongan gelandangan dan pengemis cukup sifat iaitu bukan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masih bertenaga pernah diberikan bantuan pekerjaan oleh agensi kerajaan.

"Tetapi ada di antara mereka berputus asa dan meninggalkan peluang pekerjaan yang diberikan.

"Kemudian mengharapkan sumber pendapatan lebih mudah dan cepat dengan mengemis semula tanpa perlu membanting tulang empat kerat," katanya, dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan sebelum ini dikritik hebat kerana melarang kegiatan menggemis dan gelendangan di ibu kota berkenaan.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.

Razlan berkata, gelandangan yang mempunyai masalah mental dan menghidapi HIV juga turut diberikan perhatian khusus oleh pelbagai agensi terlibat sehingga kini.

"Hari ini sudah tiba masanya menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersungguh-sungguh membasmi golongan ini dengan kaedah yang lebih positif.

"Saya berharap penguatkuasaan yang tegas dilakukan terlebih dahulu kepada pengemis dan gelandangan warga asing yang mencemarkan imej Kuala Lumpur sendiri secara tidak langsung," katanya.

Katanya, pelaksanaan zon sifar gelandangan ini tidak akan berjaya sekiranya ia diharungi tanpa sokongan semua pihak terutama NGO.

"Sukarelawan yang terlibat membantu golongan gelandangan mungkin boleh memberikan idea dan perbincangan bersama pihak berwajib di mana lokasi yang bersesuaian dijadikan 'one stop centre' untuk menyampaikan makanan, memberi rawatan dan menyerahkan pelbagai barang keperluan lain sekali gus beberapa masalah boleh diatasi," katanya.malaysian insider

No comments:

Post a Comment