PENINDASAN TERHADAP RAKYAT ISLAM CHINA , KERAJAAN PUSAT JANGAN MEMBISU


DAP hari ini mendesak kerajaan Pusat menyuarakan ketidakadilan yang menimpa umat Islam di Xinjiang kepada kerajaan China, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

Mengecam larangan berpuasa terhadap umat Islam Xinjiang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tiada justifikasi dapat menghalalkan penindasan terhadap mana-mana agama minoriti.

“DAP amat kesal dengan keputusan yang begitu lapuk dan bertentangan dengan intipati hak asasi manusia dan kebebasan beragama.

“Maka, kami menyeru kerajaan China untuk menarik balik arahan tersebut dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Malaysiakini, Duta China ke Malaysia Huang Hui Kang menafikan larangan itu dengan berkata, beliau tidak tahu-menahu wujudnya larangan sedemikian..

“Saya tidak fikir ia benar kerana sekurang-kurangnya apa yang saya tahu, tidak ada arahan tersebut,” kata Huang dalam kenyataan, hari ini..

Penafian itu ternyata kurang meyakinkan, memandangkan larangan itu dilaporkan pelbagai media antarabangsa, termasuk British Broadcasting Corporation (BBC) dan South China Morning Post.

Merujuk isu sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin berharap kerajaan tidak membisu, sebaliknya mengingatkan kerajaan China untuk menghormati hak minoriti Muslim.

Sebagai rakan yang setara, kami percaya Putrajaya boleh menyuarakan pandangan walaupu bertentangan, tanpa memburukkan hubungan diplomatik dua negara.

“Putrajaya sepatutnya mengalihkan perhatiannya daripada panda Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara ke arah hak 10 juta umat Islam di Xinjiang,” kata Bee Yin.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut membangkitkan keganasan terbaru Israel, apabila seramai 11 rakyat Palestin cedera akibat serangan Israel di 15 lokasi di Gaza.

“Kami ingin menyatakan rasa jelik dan jijik terhadap keganasan yang sedang berlaku di Baitul Maqdis dan serata Palestin.

“Pembunuhan sebegini hanya akan meneruskan kitaran keganasan dan berakhir dengan kebencian yang tidak mampu dibendung dan memustahilkan proses perdamaian,” katanya.roketkini

No comments:

Post a Comment