GEORGE TOWN, 20 JUN: DAP Bukit Bendera hari ini membuat satu laporan polis berhubung rencana terbitan akhbar Berita Harian 7 Jun lalu yang memfitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap parti itu.
Rencana tersebut bertajuk “DAP Api-apikan Sejarah Hitam”, dengan tajuk kecil “Sikap Biadap, Provokasi Berterusan Terhadap Melayu Tak Dijadikan Iktibar”, ditulis oleh Juhaidi Yeah Abdullah.
Laporan polis dibuat Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera Haris Zuan di Balai Polis Jalan Patani pada jam 10.30 pagi tadi. Turut bersama adalah Setiausaha Pemuda Bukit Bendera Rozaimin Elias dan Naib Ketua Pemuda DAP Negeri Chris Lee Chun Kit.
Haris Zuan berkata, rencana tersebut jelas tidak disokong apa-apa fakta dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, terhadap DAP.
“Dalam rencana itu, Juhaidi memfitnah DAP sebagai parti yang tidak henti-henti menghina orang Melayu, serta mendakwa matlamat DAP adalah untuk menimbulkan kebencian terhadap Umno, menghapuskan hak istimewa Melayu dan mengurangkan pengaruh Melayu dalam politik dan negara.
“Penulis juga menuduh DAP sebagai ‘rasis-cauvinis’ kerana cuba menghapuskan satu kaum untuk kepentingan kaum lain, selain menghina institusi Raja-raja Melayu menolak undang-undang syariah, mempertikaikan kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Walhal, ujar Haris Zuan, DAP adalah parti yang ditubuh berteraskan Perlembagaan Persekutuan, serta sentiasa konsisten memartabatkan keluhuran undang-undang negara.
Justeru itu, beliau menggesa polis supaya menjalankan siasatan yang adil berhubung fitnah tersebut.
“Saya berharap, pihak polis dapat menjalankan siasatan yang adil dan telus terhadap rencana Juhaidi Yeah Abdullah. Sementara kami percaya kepada kebebasan bersuara, namun ia haruslah digunakan secara bertanggungjawab,” kata Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang itu lagi.
Apa bukti DAP benci Melayu?
Beliau berkata, sepanjang penubuhan DAP pada tahun 1966, banyak pemimpin Melayu diangkat untuk bertanding dalam pilihanraya, antaranya sembilan calon yang mewakili DAP ketika kali pertama parti itu menyertai PRU pada tahun 1969.
“Kini kami mempunyai perwakilan Melayu di semua peringkat membuat keputusan di Malaysia. Antaranya Senator Dr Ariffin Omar (Dewan Negara), Zairil Khir Johari dan Mohd Ariff Sabri (Dewan Rakyat), Tengku Zulpuri (Ketua Pembangkang DUN Pahang) dan saya sendiri di peringkat kerajaan tempatan.
“Maka adalah tidak munasabah apabila DAP dikatakan bermatlamat mengurangkan pengaruh Melayu-Bumiputera dalam politik negara, melainkan yang penulis rencana itu maksudkan adalah Melayu Umno,” katanya lagi. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment