PEMBINAAN KIDEX TERUS DI BANTAH


Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) sepanjang 14.9km akan memakan kos sebanyak RM 2.4 bilion atau RM161 juta bagi setiap satu kilometer, menjadikannya lebuhraya bertol termahal di negara ini.

Lebih merunsingkan, kos RM2.4 bilion itu belum lagi mengambil kira kos pengambil-alihan tanah untuk pembinaan lebuhraya terbabit.

Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa ragu-ragunya terhadap kos yang begitu tinggi melibatkan dana rakyat.

“Penilaian Kesan Alam Sekitar awal bagi KIDEX menyatakan bahawa 290 lot tanah berjumlah 15.15 hektar akan terpaksa diambil-alih demi membuka jalan kepada pembinaan lebuhraya tersebut,” jelas beliau.

“Menurut nilai pasaran semasa terhadap tanah di sepanjang jajaran yang dicadangkan, adalah dianggarkan bahawa kos sekitar RM700 juta ke RM 1 bilion diperlukan untuk melakukan pengambil-alihan tanah,”

“Ini akan membawa jumlah besar kos KIDEX menjadi sehingga RM3.1 bilion hingga RM3.4 bilion,” tambahnya.

Sebagai perbandingan, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hanya memakan kos sebanyak RM13.04 juta per-kilometer; manakala Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) hanya dibina dengan dengan RM 33.18 juta per-kilometer.

“Kerajaan negeri dan persekutuan mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa manfaat daripada pembinaan KIDEX adalah melebihi isu kosnya,sebelum membuat keputusan sama ada untuk meluluskan projek tersebut atau sebaliknya,” ujar Bee Yin.

Isu lebuhraya KIDEX meletakkan Kerajaan Negeri Selangor dalam kedudukan yang sukar setelah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat memihak kepada projek yang rata-rata dibantah oleh penduduk setempat serta Adun-Adun Pakatan Rakyat sendiri.

Kontrak projek tersebut telah dianugerahkan kepada Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd, yang mempunyai kaitan dengan peguam UMNO Datuk Hafarizam Harun dan isteri kepada bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment