DAP menggesa kerajaan supaya membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berkenaan sistem pengagihan subsidi bahan api, kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok.
Kok berkata, Putrajaya tidak seharusnya terburu-buru melaksanakan sebarang cadangan baharu, sebaliknya mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen kedua-dua pihak berkenaan pengagihan subsidi petrol.
Akhbar Sin Chew Daily semalam melaporkan terdapat cadangan rasionalisasi subsidi petrol melibatkan pengguna kenderaan berpendapatan RM5,000 ke bawah dengan kapasiti kenderaan di bawah 2000cc.
"Tindakan seperti itu menerima bantahan banyak pihak, seperti ditunjukkan di media dan laman sosial," katanya.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, cadangan itu jika dilaksanakan, akan menyebabkan gangguan dan bebanan ditanggung terhadap pengguna kenderaan.
"Kebanyakan pemilik kenderaan melihat tindakan itu sebagai langkah kerajaan menaikkan kos petrol yang akan memberikan kesan berantai kepada barangan lain," katanya.
Kok berkata, kerajaan perlu sedar rakyat sudah terbeban dengan peningkatan kos sara hidup, ditambah lagi dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, era kerajaan tahu semuanya sudahberakhir.
"Jadi, beliau perlu melaksanakan kata-katanya dan membentuk PSC bipartisan untuk mendapatkan hasil yang memuaskan hati semua pihak," katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagaimanapun menafikan laporan berkenaan pengguna berpendapatan kurang RM5,000 dan memandu kenderaan berkuasa kurang 2,000cc layak menikmati pembelian bahan api bersubsidi secara sepenuhnya.
"Laporan itu hanyalah satu spekulasi," kata Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad kepada pemberita di Putrajaya.
Beliau mengulas laporan Sin Chew Daily mengenai pemilik kenderaan yang berpendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 diperuntukkan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi sebanyak 300 liter dan selepas habis kuota itu, pemilik kenderaan perlu membeli bahan api mengikut harga pasaran.
No comments:
Post a Comment