DYANA SELEPAS PRK TELUK INTAN , JADI ORANG PENTING DAP & PAS


SELEPAS Dyana Sofya tewas nipis dalam PRK Teluk Intan, orang mula bertanya akan masa depan politiknya dan juga masa depan poliik ibunya.
     
Ada yang meramalkan Dyana akan meninggalkan DAP seperti yang diagak oleh seorang raja yang pernah diberi kedudukan tinggi dalam pimpinan DAP dan sepenggal senator. Dia sangka Dyana juga sepertinya tidak berpolitik lagi.
     
Dyana sendiri tegas betapa dia tidak putus asa atas kekalahan kecilnya dan akan kekal dalam DAP, mungkin sehingga PRU 14 akan kekal sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang.
     
Sebagai orang PAS saya suka setiap anak muda Islam berpolitik dalam PAS termasuk Dyana. Tetapi setelah dia sudah dikenali sebagai seorang pemudi DAP, saya setuju dengan pendiriannya iaitu kekal dalam DAP sehingga PRU 14 dan lebih berperanan dalam parti itu sebagai sekutu penting Pakatan Rakyat.
     
Timbalah sebanyak-banyak pengalaman dan ilmu dalam DAP dan saya fikir kiranya dia kekal di situ, dia akan timbul selepas PRU akan datang, tidak mustahil dari Teluk Intan juga.
    
Sebagai orang Islam dia patut mengukuhkan akidahnya. Itulah masa depannya di dunia dan di akhirat. Gunakan keberanian dan kekuatan peribadi bagi mencapai tahap tinggi akidah. Caranya rapat terus dengan PAS dan ikuti program PAS sebagaimana ADUN DAP Sekincan mengikuti dan bergaul dengan PAS. Dyana mesti mencapai tahap intelektual seperti Liew Chin Tong, MP DAP Keluang yang tahu mendalam tentang pemikiran politik Islam yang dianuti PAS.
     
Dia boleh menjadi orang yang berakidah dalam DAP sambil dapat nanti memberikan pandangan yang tepat tentang Islam kepada rakan-rakan dalam DAP termasuk akan keindahan hudud. Dia boleh diam tentang sikap DAP terhadap hudud dan DAP tentu tidak akan memaksa ahli Islamnya tidak beriman dengan hudud jika ia mahu lebih ramai orang Islam bersama DAP.
    
Dyana boleh jadi seperti isteri Firaun yang tidak beriman kepada Firaun tetapi beriman dengan Allah. Bezanya dia jangan memusuhi DAP dari dalam. Jika dia boleh menjadi orang DAP yang rapat dengan pemikiran politik PAS, maka dia boleh menjadi jambatan bagi mendekatkan hubungan antara PAS dan DAP.
     
Hubungan masa depan DAP dengan PAS masa depan adalah lebih penting. Dyana boleh menjadi elemen berguna bagi mengukuhkan hubungan itu.
    
Ibu Dyana telah muncul sebagai nama orang politik yang lebih penting dari penampilannya dalam Umno selama ini. Dia terkenal dalam politik kerana anaknya jadi DAP. Latar belakangnya dalam Umno ada penting sebagai orang politik yang ada imej baru.

Dia menyokong anaknya dan belum bercadang keluar Umno. Tetapi dia tidak akan tahan lama dalam Umno apabila rakan-rakan dan pemimpin Umno mencerca anaknya beterusan. Mungkin mereka tidak pecat dia dari Umno tetapi dengan mereka menghina anaknya tidak henti-henti, maka Umno bukan lagi menyenangkan fikirannya dan keluarganya.

Setakat ini dua sudah keluar Perkasa. Dan eloklah keluar Umno bagi bertoleran dengan anaknya Dyana. Parti yang  elok disertai oleh ibunya jika keluar dari Umno bukan masuk DAP dan bukan juga PKR, tetapi menyertai PAS.
     
PAS ada sikap memberi dan menerima dengan Dyana. PAS tidak kutuk Dyana jadi DAP dan menghormati pilihannya. Sekalipun Dyana dalam PRK lalu tidak bersama isu hudud, tetapi PAS adalah bersama Dyana.
     
Jika ibu Dyana masuk PAS dan Dyana mempunyai hubungan yang rapat dengan PAS, ibunya pula menjadi orang PAS yang ada hubungan rapat dengan DAP, maka kedua anak beranak itu boleh menjadi orang yang amat berharga kepada PAS dan DAP. Tempat baru bagi ibu itu adalah bersama PAS dan dia boleh berpolitik sama naik dengan anaknya.harakahdaily 

No comments:

Post a Comment