Malaysia "kehilangan satu generasi" yang tidak lagi mempercayai kerajaan, pihak berkuasa dan juga antara satu sama lain, ekoran trend terkini pelampau agama, kata Biskop Anglican, Datuk Ng Moon Hing.
Presiden baharu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu berkata, ketakutan terbesar bagi Malaysia adalah masyarakat berpecah-belah kerana ungkapan benci, kebencian kaum dan ekstremisme agama yang tidak dipantau.
"Negara ini mula kehilangan satu generasi yang tidak lagi mempercayai kerajaan, pihak berkuasa, golongan tua, pemimpin agama, lebih-lebih lagi antara satu sama lain," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Ng berkata, kepercayaan dan keyakinan akar umbi terhadap Putrajaya menjunam ke paras terendah dengan isu tidak dapat diselesaikan termasuk AlKitab atau Bible bahasa Melayu dan Iban yang disita serta kontroversi ke atas penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang membawa kesan kepada masyarakat Malaysia berbilang agama.
Ketegangan kaum dan agama silih berganti menjadi lebih teruk pada awal tahun ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis pertubuhan berkenaan di Damansara Kim, Petaling Jaya pada 2 Januari dan merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban.
AlKitab belum dikembalikan
Pada satu seminar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenaan penggunaan kalimah Allah dan Kristologi bulan lepas, beberapa penceramah memberi amaran kepada umat Islam berkenaan ancaman Kristianisasi.
Para penceramah juga memberi amaran akan wujudnya paderi Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk mempromosi Kristian dan memurtadkan orang Islam.
Ng yang juga bekas presiden Persekutuan Kristian Malaysia berkata, menjadi sesuatu yang merisaukan beliau jika pihak berkuasa tidak menghentikan ucapan kebencian dan hasutan, keadaan menjadi lebih buruk dan tidak akan dapat diperbaiki lagi.
Katanya, sehingga hari ini, Jais, kerajaan negeri Selangor, Pejabat Peguam Negara dan Putrajaya tidak dapat memberikan jawapan di mana AlKitab dirampas itu berada atau mengapa mereka tidak mengembalikannya kepada PBM.
Beliau juga kesal kerana serbuan dan penyitaan berlaku walaupun janji yang dibuat oleh dua Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak PBM bebas membawa masuk Bible berbahasa Melayu dan mengedarkannya di kalangan orang Kristian.
Semasa era Dr Mahathir, PBM diberi kebenaran mengimport dan mengedarkan AlKitab kepada orang Kristian dan juga untuk kegunaan gereja dan rumah-rumah Kristian.
Berikutan itu, hak PBM untuk mengimport dan mengedar Alkitab perlu disahkan semula dalam penyelesaian 10 perkara yang ditandatangani di bawah kepimpinan Najib dengan masyarakat Kristian.
"Bagaimanapun dalam sekelip mata, semua janji-janji itu tidak bermakna.
“Ia hanya menunjukkan tiada kesungguhan di pihak kerajaan negeri Selangor dan Putrajaya untuk menyelesaikan isu ini yang pertama kali dimulakan oleh mereka," katanya yang juga presiden Anglican Diocese of West Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, ketegangan kaum dan agama yang dialami Malaysia kini bermula lama dahulu apabila mereka yang berkuasa membuat keputusan berkompromi berkenaan integriti dan kesederhanaan mereka dengan ketamakan dan keinginan bagi terus berkuasa walau apa pun yang perlu dibayar.
"Ketegangan yang kita lihat sekarang tidak bermula sekelip mata. Ia bermula apabila orang yang berkuasa berkompromi berkenaan integriti, kepercayaan, kesederhanaan, rasional, keamanan dan keharmonian kewujudan bersama dengan keuntungan sendiri, ketamakan, kemasyhuran diri, idea untuk terus berkuasa demi kemajuan ekonomi, pembangunan, pendidikan, pemeliharaan bangsa, bahasa dan kepercayaan.
"Semua agama menjadi satu permainan politik yang dipolitikkan dan dimanipulasi oleh ramai ahli politik," katanya.
Sehubungan itu, katanya, negara ini di bawah ancaman pelampau dengan agenda utama untuk memusnahkan “muhibah” di negara ini bagi keuntungan serta kepentingan diri sendiri.
Petikan temubual
S: Apakah kebimbangan terbesar anda terhadap Malaysia hari ini ekoran kejadian baru-baru ini yang menyebabkan ketegangan kaum dan agama?
J: Ketakutan saya yang paling besar adalah masyarakat berpecah disebabkan tiada pantauan terhadap ucapan kebencian, kebencian kaum dan ekstremisme agama. Negara ini mula kehilangan satu generasi yang tidak lagi mempercayai kerajaan, pihak berkuasa, orang tua, para pemimpin agama dan juga setiap rakyat Malaysia yang lain.
Jika pihak berkuasa tidak menghentikan pelampau dan kenyataan benci serta hasutan secepat mungkin dan pada masa yang sama menyematkan keharmonian, keamanan, keadilan dan kesaksamaan, saya takut kerosakan yang berlaku tidak akan mampu diperbaiki lagi.
S: Adakah Kristian terancam di Malaysia. Mengapa kamu berkata demikian?
J: Saya tidak fikir agama Kristian sahaja terancam tetapi Malaysia secara keseluruhannya adalah sedang terancam. Maksud saya Malaysia tulen 1963 diperas ugut beberapa kumpulan pelampau. Agenda mereka adalah untuk memusnahkan muhibah Malaysia dalam usaha mengaut keuntungan serta kepentingan diri sendiri.
S: Apakah cabaran terbesar anda dalam tempoh perkhidmatan tuan sebagai presiden CFM dari 2009 sehingga 2013? Apa keutamaan CFM? Adakah anda berjaya menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan penganut dan agama Kristian?
J: Saya tidak fikir saya atau CFM sahaja boleh menyelesaikan isu yang melibatkan penganut dan agama Kristian. Isu-isu yang kami hadapi sebelum, semasa dan selepas saya di CFM adalah sama seperti yang dihadapi kumpulan agama lain seperti Islam, Hindu, Sikh, Buddha dan Tao – iaitu agama menjadi permainan politik yang juga dipolitikkan dan dimanipulasi oleh ramai ahli politik.
S: Apa cabaran yang anda bayangkan semasa menerajui PBM yang kini sedang berhadapan dengan isu rampasan Al-Kitab yang belum diselesaikan?
J: Selagi Alkitab disita dan semua isu-isu lain yang berkaitan seperti penggunaan kalimah Allah, pencerobohan tempat ibadat tidak dapat diselesaikan, saya tidak melihat bagaimana tahap kepercayaan dan keyakinan pihak berkuasa dan kerajaan oleh akar umbi boleh diperbaiki. Ia berada di tahap paling bawah sekarang.
S: Adakah anda fikir bercakap dengan pihak berkuasa seperti menteri yang bertanggungjawab bagi Islam, perpaduan negara, atau Menteri Dalam Negeri tidak akan berjaya? Adakah saluran ini hanya sia-sia sahaja?
J: CFM diheret ke dalam satu demi satu dialog, mesyuarat dan pada akhirnya semua orang menolak kepada semua orang dan tidak ada yang mahu menjadi pihak “yang jahat" untuk memperbaiki perkara yang salah.
S: Adakah PBM masih mengimport Alkitab?
J: Dalam keadaan seperti ini, adakah anda masih mahu mengimport Alkitab? Mengatakan ini, import atau tidak import, Alkitab berada di internet dan sesiapa sahaja, di mana sahaja boleh memuat turun atau hanya membacanya dalam talian.
S: Apakah kebimbangan terbesar anda tentang Alkitab yang dirampas? Adakah ia dimusnahkan? Dirosakkan?
J: Kami berharap Alkitab dirampas akan dibaca oleh orang yang menyimpannya.
S: Apakah nasihat anda kepada orang Kristian yang kini berhadapan dengan “Christian-bashing” dan pelbagai bentuk penganiayaan, termasuk tuduhan cuba memurtadkan orang Islam? Adakah kita sentiasa tidak melawan?
J: Ada masa untuk segala-galanya, itu yang diajar Alkitab. Ada masa bersabar; terdapat juga merupakan masa untuk berhadapan dengan masalah; ada juga masa untuk berdialog; ada juga ketika mencari situasi menang-menang melalui pemahaman dan perkongsian bersama.
S: Dari masa mulakan kerja dakwah, adakah anda ingat ketegangan antara kaum dan agama seburuk sekarang? Mengapa anda berfikir ia menjadi seperti ini?
J: Semua ini tidak bermula dalam sekelip mata, ia bermula apabila orang yang memegang kuasa berkompromi integriti, kepercayaan, kesederhanaan, rasional, keamanan dan keharmonian kewujudan bersama dengan keuntungan sendiri, ketamakan, kemasyhuran diri, idea untuk terus berkuasa atas nama kemajuan ekonomi, pembangunan, pendidikan, pemeliharaan bangsa, bahasa dan agama.themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment