Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ternyata gagal mengambil kira perasaan masyarakat bukan-Muslim dan langsung tidak menghormati kesucian rumah ibadat dan majlis keagamaan mereka, seperti yang dilihat dalam serbuan melulu ke majlis perkahwinan Hindu hujung minggu lalu.
Menyifatkan serbuan itu sebagai keterlaluan, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata JAIS sepatutnya menyiasat dengan terperinci dahulu dan meminta kebenaran kerajaan Negeri apabila membabitkan masyarakat bukan-Muslim.
“Serbuan itu dan kenyataan tidak sensitif oleh Timbalan Ketua Pengarah JAIS Ahmad Zaki Arshad menunjukkan JAIS gagal mengambil kira perasaan penganut bukan-Islam, dan keterlaluan dalam menyiasat laporan berkaitan mereka.
“JAIS sepatutnya menghormati kesucian tempat ibadat bukan-Islam, dan meminta kebenaran kerajaan negeri terlebih dulu, bukannya menggunakan pendekatan ‘buat dahulu, fikir kemudian,’” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kian Ming lagi, serbuan itu hanya mengukuhkan persepsi bahawa masyarakat bukan-Muslim di Selangor kini ‘terkepung’ dan akan mengeruhkan hubungan antara kaum, selepas insiden rampasan Bible berbahasa Melayu awal tahun ini.
Ahad lalu, empat pegawai JAIS diiringi sepuluh polis menyerbu upaca perkahwinan Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya, mengejutkan kira-kira 50 hadirin.
Selepas dikecam pelbagai pihak, Ahmad Zaki menafikan bahawa ia adalah satu serbuan, sebaliknya hanya ‘pemeriksaan biasa’, berhubung status agama pengantin perempuan yang memiliki nama mirip muslim, Zarena Abd Majid.
Semalam, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim turut mengecam serbuan itu sebagai insiden yang memalukan dan berkata kerajaan negeri akan membantu Zarena menyelesaikan masalah status agamanya yang berlarutan sejak sekian lama.
Alasan JAIS mengarut
Kian Ming turut menyifatkan reaksi balas Ahmad Zaki bahawa “JAIS tetap akan menyiasat sesiapa sahaja yang memiliki nama seperti Muslim jika berkunjung ke gereja, termasuk (bintang tenis) Rafael Nadal,” sebagai mengarut.
“Sejauh yang saya tahu Rafael atau Nadal bukan nama yang biasa dipakai oleh Muslim di mana-mana negara Muslim sekali pun.
“Menggunakan Rafael Nadal sebagai contoh nama Muslim jelas menunjukkan kejahilan Timbalan Pengarah JAIS,” ujarnya.
Sehubungan dengan kenyataan Ahmad Zaki itu, Kian Ming membangkitkan bagaimana JAIS akan menangani bukan-Muslim Sabah dan Sarawak yang memakai nama seperti Muslim.
“Misalnya Ketua Pengarah Eksekutif PEMANDU Datuk Idris Jala. Adakah JAIS akan menyiasat individu bernama Idris Jala jika ada laporan beliau hadir ke gereja?” soal beliau.
Lebih utama, katanya lagi, Ahmad Zaki seperti membayangkan JAIS akan menyiasat setiap orang Islam yang berada di rumah ibadat bukan-Islam, antaranya ketika upacara perayaan.
“Banyak pekerja Melayu DAP, termasuk daripada Roketkini yang menghadiri majlis perkahwinan pekerja akhbar parti The Rocket, di gereja di Subang Jaya baru-baru ini. Ketika itu, lagu Kristian dinyanyikan dan petikan Bible dibaca. Apakah JAIS akan menyerbu majlis itu jika mereka menerima laporan?
“Adakah bukan-Muslim di Selangor tidak boleh lagi menjemput rakan Melayu untuk menghadiri majlis di rumah ibadat mereka?” soalnya lagi.
No comments:
Post a Comment