RAMPASAN BIBLE - KRISTIAN MAHU SEMUA PIHAK PATUH 10 PERKARA


Walaupun isu rampasan Bible hampir selesai di Selangor dengan kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memulangkannya, pemimpin Kristian Sabah dan Sarawak mempersoalkan komitmen Putrajaya terhadap janji penyelesaian 10 perkara pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tiga tahun lalu.

Mereka berkata, tindakan tidak bertamadun merampas kitab suci penganut Kristian itu tidak akan berlaku sekiranya Putrajaya tegas mempertahankan penyelesaian 10 perkara yang membenarkan Bible berbahasa Melayu dan Indonesia bebas diimport dan digunakan dalam dua negeri itu.

Mereka berkata, Putrajaya perlu berpendirian jelas dalam kebebasan beragama dan menuntut pihak berkuasa Islam mengelak insiden konflik antara agama berlaku lagi.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri James Masing dalam reaksi terhadap pengakuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail rampasan Bible oleh Jais itu merupakan satu kesilapan, berkata Putrajaya perlu menyatakan pendirian tentang kebebasan beragama yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Masing berkata, lebih 300 Alkitab (Bible berbahasa Melayu) dan Bup Kudus (Bible berbahasa Iban) yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) enam bulan lalu perlu dipulangkan secepat mungkin. Bible itu bertujuan untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak.

Jais merampas Bible tersebut menggunakan Enakmen 1988 Selangor yang menghalang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada umat Islam di negeri itu.

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Bernard Dompok, berkata rampasan tersebut tidak akan berlaku sekiranya Putrajaya memegang teguh kepada penyelesaian 10 perkara.

Dompok yang baru saja meletakkan jawatan sebagai presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), berkata Putrajaya seharusnya memantau pihak berkuasa agama seperti Jais untuk mengelak insiden antara agama seperti ini berlaku lagi.

"Prinsip panduannya ialah pihak berkuasa agama tidak harus masuk campur urusan pengamal agama lain.

"Kebebasan beragama dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Memandangkan banyak insiden baru-baru ini yang menunjukkan pihak berkuasa agama negeri semakin berani dalam tindakan mereka, perlu ada satu prosedur operasi standard di mana Putrajaya memainkan peranan aktif, bukan pasif bagi memastikan hak agama lain tidak dipijak," kata Dompok.

Beliau merujuk kepada rampasan mayat seorang Cina beragama Islam dalam satu majlis pengebumian di Pulau Pinang dan serbuan di kuil Hindu untuk menghalang seorang wanita Islam daripada berkahwin.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menuntut Jais mengaku salah dan memohon maaf serta perlu merujuk kerajaan negeri sebelum melakukan tindakan sensitif.

“Mereka tidak boleh melakukan apa saja, terutamanya dalam isu yang terlalu sensitif,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba Kelalan itu berkata, beliau berharap isu ini mengajar Jais untuk “lebih berhati-hati pada masa depan.”

"Amat jelas mereka tidak boleh mengambil tindakan seperti ini tanpa bukti. Kecurigaan tidak cukup dalam hal-hal yang sensitif seperti agama.

"Ramuan asas dalam undang-undang adalah untuk mempunyai bukti sebelum bertindak. Pihak berkuasa tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya," katanya.themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment